SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan mendesak kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menarik balik segala tuduhan terhadap gabungan itu berhubung isu institusi diraja, adat dan agama Islam yang dibangkitkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Majlis Pimpinan Negeri PH berkata, perkembangan krisis politik dan adat ketika ini sepatutnya membuka ruang kepada rakyat menilai semula tuduhan kononnya institusi istana dikuasai DAP, urusan adat dicampuri pimpinan PH dan kedudukan agama Islam terancam di bawah pentadbiran terdahulu.
Menurutnya, pendirian PH dalam mempertahankan kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta menghormati institusi adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan tidak pernah berubah sejak awal krisis tercetus.
“Jika pendirian mempertahankan kedudukan Tuanku Muhriz kini menjadi komitmen kerajaan, mengapakah pendirian yang sama ketika dibawa oleh PH Negeri Sembilan dahulu dipersoalkan dan diserang?” kata kenyataan itu.
PH Negeri Sembilan turut mengambil maklum kenyataan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berhubung kedudukan Tuanku Muhriz dan tanggungjawab mempertahankan institusi diraja yang disifatkan selari dengan prinsip diperjuangkan gabungan itu sejak awal krisis politik dan adat.
“Bagaimanapun, PH negeri ini berpandangan rakyat berhak mendapat penjelasan mengenai tindakan serta pendirian Menteri Besar dalam kemelut sebelum ini, termasuk persoalan berkaitan Proklamasi yang pernah menjadi pertikaian.
“Sehubungan itu, kami menegaskan BN-PN perlu mengemukakan bukti secara terbuka sekiranya mempunyai asas terhadap tuduhan berkenaan, atau menarik balik dan memperbetulkan dakwaan yang tidak dapat dibuktikan kerana ia memberi kesan kepada keharmonian masyarakat serta maruah pihak yang dituduh,” katanya – KOSMO! ONLINE














