SEREMBAN – Sesi menghadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini, hari ini, dijangka menjadi penentu kepada status kedudukan beliau sekali gus memberi petunjuk terhadap penyelesaian kemelut kepimpinan negeri itu.
Perkembangan itu dinantikan susulan krisis membabitkan institusi istana dan pentadbiran kerajaan negeri yang berlarutan sejak Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) pada 21 September lalu atas alasan melanggar sumpah jawatan.
Susulan pembatalan itu, Ismail terpaksa menguruskan pentadbiran kerajaan negeri secara bersendirian tanpa barisan EXCO sehingga kini.
Kemelut berkenaan bagaimanapun semakin meruncing apabila Ismail dilaporkan menghantar surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar kepada istana seperti diumumkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pada malam Isnin lalu.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan pada hari berikutnya menjelaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.- KOSMO! ONLINE














