Keadaan Masjid At-Taufiqiah yang dinaiki air pada Selasa lalu.

Masjid At-Taufiqiah bakal berpindah ke kawasan tanah tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Masjid At-Taufiqiah yang sudah lapan kali dilanda banjir merancang berpindah ke lokasi baharu di kawasan tanah tinggi dalam Bandar Seri Coalfields bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.

Setiausaha Masjid At-Taufiqiah, Mohd Fazlizan Lod berkata, kejadian banjir terbaharu itu merupakan kali kelapan masjid berkenaan ditenggelami air, termasuk dua kali dalam tahun ini.

Menurutnya, kejadian terbaharu itu berlaku kira-kira dua minggu selepas banjir sebelumnya.

“Masjid mempunyai perancangan untuk berpindah ke tempat lain yang lebih tinggi.

“Insya-Allah, masjid baharu dirancang dibina dalam kawasan perumahan Bandar Seri Coalfields, di atas tanah tinggi yang telah disediakan oleh pemaju, KLK,” katanya.

Beliau berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan dan pihak pengurusan masjid memerlukan bantuan teknikal serta kewangan dengan segera bagi merealisasikan perancangan tersebut.

Katanya, usaha mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan amat diperlukan bagi memastikan pembinaan masjid baharu dapat dilaksanakan.

Terdahulu, Masjid At-Taufiqiah sekali lagi dilanda banjir malam Selasa lalu, kira-kira dua minggu selepas kejadian sama pada 4 November lalu.

Kejadian itu menyebabkan air memasuki ruang solat utama masjid berkenaan selepas solat Isyak, sekali gus menjejaskan urusan ibadah dan memerlukan kerja-kerja pembersihan dilakukan semula.

Media juga melaporkan, Masjid At-Taufiqiah di Puncak Alam yang menjadi ‘mangsa’ banjir sebanyak tujuh kali sejak 2021 berkemungkinan terpaksa dipindahkan atau ditinggikan bagi mengatasi masalah limpahan air berulang.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kedua-dua pilihan itu akan dibincangkan bersama pihak pengurusan masjid bagi mencari penyelesaian jangka panjang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN