KUALA LUMPUR – Lembah Klang kini berada pada titik genting apabila peluasan kawasan binaan secara mendatar menjejaskan saliran semula jadi, meningkatkan risiko banjir kilat dan memburukkan kesesakan perjalanan harian.
Laporan Spatial Analysis and Cities Benchmarking oleh PNB Research Institute Sdn Bhd (PNBRI) menyifatkan Lembah Klang sebagai wilayah metropolitan yang berdepan krisis struktur paling mendesak di negara ini.
“Lembah Klang berada tepat pada titik perubahan yang tidak stabil antara fasa pertumbuhan pesat kepada pertumbuhan yang semakin perlahan,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan disediakan Dr Ahmad Farhan Roslan, Adibah Amira Nazarudin, Fakhira Fathini Mohd Khudzari dan Muhammad Azizol Ismail.
Analisis itu mendapati Kuala Lumpur berkembang jauh melepasi pusat bandar sejak 1990-an sehingga membentuk kawasan binaan berterusan di seluruh Lembah Klang.
Antara 2015 hingga 2025, pertumbuhan berlaku terutama mengikut koridor ke arah Shah Alam dan Klang di sebelah barat serta Serdang, Putrajaya, Sepang dan Seremban di sebelah selatan.
Selepas pandemik, kelompok pembangunan sekunder turut muncul di sepanjang lebuh raya utama dan zon ekonomi, menunjukkan Lembah Klang sedang berubah daripada bandar padat kepada wilayah metropolitan berbilang pusat.
Harga tanah dan rumah yang semakin tinggi di pusat bandar pula mendorong penduduk berpendapatan sederhana dan rendah mencari kediaman di kawasan pinggir yang menawarkan tanah lebih murah.
Bagaimanapun, pembangunan kediaman di pinggir bandar berkembang lebih pantas daripada penyediaan pengangkutan awam, perkhidmatan sosial dan kawasan hijau.
Pada masa sama, peluang pekerjaan masih tertumpu di pusat kegiatan utama, menyebabkan ramai penduduk bergantung kepada kenderaan persendirian dan perlu menempuh perjalanan jauh.
Keadaan itu menyumbang kepada kesesakan harian, kehilangan produktiviti dan tekanan terhadap infrastruktur bandar yang semakin meningkat.
PNBRI berkata, peluasan pesat kawasan binaan di pinggir Lembah Klang turut mengubah hubungan antara landskap semula jadi.
Pengurangan kapasiti saliran semula jadi, ditambah hujan tropika yang semakin lebat, meningkatkan kekerapan serta kesan banjir kilat di wilayah berkenaan.
Sistem bandar di Kuala Lumpur dan Lembah Klang juga semakin terbeban apabila pertumbuhan penduduk serta permintaan terhadap perumahan, pengangkutan, infrastruktur dan perkhidmatan awam bergerak lebih pantas daripada kapasiti sedia ada.
Laporan itu menjadikan Bangkok sebagai amaran mengenai kesan pembangunan konkrit tidak terkawal yang menggantikan kawasan hijau serta menjejaskan sistem saliran semula jadi.
Menurut PNBRI, pembangunan mendatar tanpa kawalan di Bangkok, ditambah pengambilan air bawah tanah, menyumbang kepada penurunan tanah serta memburukkan risiko banjir bandar.
Pengalaman Seoul pula menunjukkan bandar boleh menangani kesesakan dan pertumbuhan tidak terkawal melalui pembangunan pusat baharu, peluasan rangkaian rel serta penyusunan semula pembangunan berorientasikan transit.
PNBRI menggesa penggunaan ruang bandar sedia ada dioptimumkan terlebih dahulu melalui pembangunan isian, penggunaan semula bangunan dan pembangunan semula kawasan yang kurang dimanfaatkan.
Pembangunan di sekitar stesen pengangkutan awam juga perlu mengutamakan kemampuan penduduk dan kemudahan akses, selain mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
Laporan itu turut mencadangkan penyelarasan lebih kukuh antara lokasi perumahan, pekerjaan dan rangkaian pengangkutan bagi mengurangkan perjalanan jauh serta kehilangan produktiviti akibat kesesakan.
Pada masa sama, tadbir urus metropolitan perlu merentasi sempadan pentadbiran pihak berkuasa tempatan supaya perancangan guna tanah, pengangkutan, infrastruktur dan pembangunan ekonomi dapat diselaraskan.
Bagaimanapun, PNBRI menjelaskan analisis ruang berkenaan menggunakan imej cahaya malam satelit sebagai petunjuk relatif terhadap taburan kegiatan bandar.
Analisis itu menggunakan imej peta haba dan masih perlu disahkan menggunakan data cahaya asal daripada satelit. Justeru, pengesahan lanjut menggunakan data cahaya malam yang konsisten serta diperbetulkan diperlukan bagi menghasilkan ukuran lebih tepat.














