Noor Hisham (tengah) bersama Abdul Aziz (kanan) ketika melawat Thierry di Hopsital Kuala Lumpur hari ini.

Lans Koperal Thierry stabil, sudah mula rasa jari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lans Koperal Thierry Rodger Pendy, 26, yang putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak lelaki bersenjatakan parang kini menunjukkan perkembangan positif apabila mula dapat merasakan jarinya selepas menjalani pembedahan menyambung semula tangan.

Perkembangan itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin yang melawat anggota berkenaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.

“Alhamdulillah, berdasarkan maklumat daripada doktor pakar yang merawatnya, keadaan beliau menunjukkan perkembangan positif.

“Keadaannya stabil walaupun masih kritikal. Menurut doktor pakar, tempoh tiga hingga empat minggu diperlukan untuk pemulihan urat dan tulang, namun bukan bermakna beliau akan pulih sepenuhnya dalam tempoh itu,” katanya, di sini hari ini.

Noor Hisam berkata, Thierry kini ditempatkan di wad biasa, namun masih menerima pemantauan rapi doktor.

“Saya bertanya kepada beliau dan dimaklumkan bahawa beliau sudah mula merasakan jarinya, namun belum sepenuhnya kerana masih menjalani rawatan.

“Selepas tempoh tiga hingga empat minggu itu, doktor akan mempertimbangkan untuk membenarkan beliau keluar hospital,” ujarnya.

Beliau berkata, Thierry kini sedar, boleh berkomunikasi dan menunjukkan semangat tinggi walaupun mengalami kecederaan serius.

Katanya, doktor pakar turut mengehadkan jumlah pelawat atas faktor klinikal, namun membenarkan kunjungan dalam bilangan kecil bagi memberikan sokongan psikologi kepada anggota berkenaan.

Mengulas tempoh Thierry pulih dan boleh kembali bertugas, Noor Hisam berkata, perkara itu bergantung kepada penilaian pakar perubatan dan belum dapat dijangka.

Mengenai kebajikan keluarga, beliau berkata, polis membawa ibu dan bapa Thierry dari Sibu, Sarawak, ke Semenanjung sehari selepas kejadian bagi membolehkan mereka berada di sisi anggota berkenaan.

“Buat masa ini, ibunya ada berada bersama beliau di sini. Pihak polis turut menguruskan kebajikan keluarganya bagi membolehkan ahli keluarga terdekat berada bersama beliau sepanjang tempoh tiga hingga empat minggu ini,” jelasnya.

Lawatan kebajikan itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid, Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti) JPJKK Bukit Aman, Datuk Suryani Sungit dan Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan/Koordinasi Sumber Sokongan) JPJKK Bukit Aman, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid.

Dalam kejadian pada 11 November lalu, Thierry cedera parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan dua parang ketika menjalankan tugas di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN