KUALA LUMPUR – Pertimbangan terhadap keselamatan orang awam serta keadaan persekitaran menjadi antara faktor anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy, tidak melepaskan tembakan dalam kejadian di Desa Aman Puri, Kepong, 11 November lalu.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan anggota berkenaan terhadap situasi ketika kejadian, khususnya bagi mengelakkan risiko keselamatan kepada orang awam.
“Kalau ikutkan, memang dia sudah ada hak mempertahankan diri. Dia berdepan ancaman maut atau cedera parah daripada suspek.
“Namun, berdasarkan pertimbangannya ketika itu, peluru kadang-kadang boleh ‘ricochet’ (melantun). Bukan sahaja peluru, malah serpihan-serpihan juga boleh terkena orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan terhadap Thierry di Hospital Kuala Lumpur (HKL), hari ini.
Menurut Noor Hisham, Thierry turut beranggapan kehadiran senjata api di tangannya mampu menggentarkan suspek dan mengawal keadaan ketika kejadian.
Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila suspek terus bertindak ganas meskipun berhadapan anggota polis bersenjata.
“Rupanya suspek tidak gentar dengan senjata di tangan anggota berkenaan, malah semakin mengganas.
“Itulah pertimbangannya, pertama memikirkan keselamatan orang awam dan kedua, dia beranggapan suspek mungkin dapat dikawal melalui kehadiran senjata api,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun cedera parah sehingga putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing bersenjatakan dua bilah parang dalam kejadian di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri, Kepong, semalam.
Suspek kemudian melarikan diri sebelum dikesan berhampiran sebuah taman permainan di kawasan berkenaan sekitar pukul 7.30 hingga 8 malam.
Polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas lelaki itu sekali lagi bertindak agresif dan menyerang anggota bertugas menggunakan parang.
Suspek bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala Thierry yang sudah menjalani pembedahan bagi menyambung semula pergelangan tangan kini berada dalam keadaan stabil. – KOSMO! ONLINE














