Gambar fail Istana Besar Seri Menanti di Kuala Pilah. Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

Tiada majlis angkat sumpah Exco Negeri Sembilan hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA PILAH – Khabar angin mengenai majlis mengangkat sumpah barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu Negeri Sembilan yang didakwa akan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini tidak menjadi kenyataan.

Perkembangan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju pentadbiran kerajaan negeri susulan kemelut politik yang masih belum menemui penyelesaian.

Difahamkan, majlis berkenaan tidak dapat diteruskan susulan perkembangan terbaharu membabitkan kedudukan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim yang berdepan isu sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Malam 20 November lalu, sebanyak 24 daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, mencapai kata sepakat untuk akur dan mematuhi sebarang arahan pucuk pimpinan serta ketetapan parti, bagi menyelesaikan kemelut politik yang sedang melanda negeri itu.

Sebelum itu, Istana Negeri Sembilan menerusi kenyataan Pengelola Bijaya Diraja menegaskan Ismail perlu membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti ADUN selain mengemukakan senarai calon Exco untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Media sebelum ini melaporkan majlis mengangkat sumpah tujuh Exco baharu dilaporkan dijadual berlangsung hari ini susulan cadangan penyusunan semula barisan pentadbiran kerajaan negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN