BAGHDAD – Sebuah pesawat peribadi mewah yang dikaitkan dengan bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein dilaporkan dibuka untuk jualan pada harga sekitar £680,000 (RM3.6 juta) selepas lebih tiga dekad tersadai di sebuah lapangan terbang di padang pasir Tunisia, lapor saluran berita The Sun UK.
Pesawat jenis Boeing 747SP yang digelar sebagai ‘istana terbang’ itu dilaporkan pernah digunakan untuk membawa pemimpin berkenaan menghadiri pelbagai mesyuarat diplomatik di seluruh dunia.
Ia merupakan salah satu daripada dua pesawat Boeing 747 milik Iraq yang dibiarkan terdedah kepada cuaca panas di landasan lapangan terbang berkenaan selama 35 tahun.
Menurut laporan, kedua-dua pesawat itu diterbangkan keluar dari Iraq secara tergesa-gesa pada tahun 1991 bagi tujuan keselamatan, hanya beberapa minggu sebelum Perang Teluk Kedua meletus.
Kini, syarikat penerbangan milik kerajaan, Iraqi Airways bertindak menjual kedua-dua aset berkenaan pada harga yang disifatkan jauh lebih murah berbanding harga sebuah kereta mewah supercar Bugatti baharu.
Antara kedua-dua pesawat tersebut, tumpuan utama terarah kepada model Boeing 747SP yang jarang ditemui, didaftarkan dengan nombor YI-ALM dan dinamakan Al-Qadissiya.
Untuk rekod, pesawat ini merupakan unit ke-44 daripada hanya 45 buah model Boeing 747SP yang pernah dihasilkan di dunia. – AGENSI














