Gambar yang dikongsi Jamawi di laman Facebooknya.

Kepala Jamawi berbalut, tergelincir dalam tandas KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar cedera di kepala selepas tergelincir di dalam tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi tadi.

Kejadian berlaku ketika beliau menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar sebelum tergelincir akibat permukaan lantai yang licin sehingga menyebabkan kepalanya terhentak ke lantai.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Jamawi berkata, kejadian itu menyebabkan beberapa rakan yang terserempak dengannya di KLIA tertanya-tanya selepas melihat kepalanya ditutupi tuala berdarah.

“Ada kawan kawan yang nampak saya di KLIA dengan tuala berdarah menutupi kepala pagi tadi whatsapp dan call tanya apa yang berlaku.

“Sebenarnya berlaku kemalangan kecil ketika saya menggunakan tandas berhampiran Bilik Bunga Mawar di ruang menunggu VIP KLIA. Permukaan tandas yang licin menyebabkan saya tergelincir dan kepala terhentak ke lantai,” katanya.

Menurutnya, luka di kepalanya telah dirawat dan dijahit oleh doktor serta jururawat yang bertugas di Menara Medical Clinics KLIA.

Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan berkenaan atas rawatan diberikan.

Susulan kejadian itu, beliau menasihatkan pihak pengurusan Malaysia Airports supaya melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan permukaan tandas bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Latihan juga harus diberikan kepada kakitangan agar langkah-langkah awal rawatan kecemasan dapat dilaksanakan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya laluan kecemasan ke klinik berhampiran KLIA disediakan bagi memudahkan mangsa mendapatkan rawatan segera sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

Pada masa sama, memaklumkan akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu pada pukul 1.05 petang selepas menempuh perjalanan jauh dari Brasilia, Brazil, menerusi Sao Paulo dan Doha.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa, Datuk Yusuf Apdal serta rakan-rakan lain yang menghubunginya untuk bertanyakan keadaan selepas kejadian itu.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN