KUALA LUMPUR – Asisten Komisioner Suffian Abdullah dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Beliau yang sebelum ini Timbalan Ketua JSPT Kuala Lumpur mengambil alih jawatan itu daripada Senior Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa.
Mohd. Zamzuri kini dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Kepolisan Am) Bahagian Kepolisan Am Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam, Bukit Aman.
Jawatan yang ditinggalkan Suffian pula kini disandang oleh Superintendan Muhammad Ashraf Shukor.
Majlis serah terima tugas itu berlangsung di Dataran Balai Polis JSPT, Jalan Tun H. S. Lee, di sini, hari ini dengan disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Fadil dalam ucapannya menzahirkan keyakinan terhadap pengalaman, pengetahuan serta kepimpinan Suffian dalam meneruskan kecemerlangan jabatan berkenaan.
“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kepimpinan yang dimiliki, beliau mampu meneruskan kesinambungan kecemerlangan jabatan ini serta membawa pembaharuan yang bersesuaian dengan keperluan dan cabaran semasa.
“Saya juga berharap agar seluruh warga JSPT Kuala Lumpur memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada kepimpinan baharu demi memastikan segala perancangan serta agenda jabatan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat Dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fadil berkata, tanggungjawab menerajui jabatan yang berperanan menguruskan pergerakan trafik di sebuah kota metropolitan seperti Kuala Lumpur bukanlah satu tugas mudah.
Katanya, pertambahan jumlah kenderaan, kesesakan jalan raya, kadar kemalangan serta pelbagai bentuk pelanggaran undang-undang jalan raya merupakan antara cabaran yang perlu ditangani secara berterusan.
Justeru, tegasnya, JSPT Kuala Lumpur perlu sentiasa bersedia menyesuaikan pendekatan serta memperkukuh keupayaan penguatkuasaan agar lebih berkesan, strategik dan responsif terhadap keperluan semasa.
Fadil turut merakamkan penghargaan kepada Mohd. Zamzuri atas segala sumbangan, komitmen dan khidmat bakti sepanjang menerajui jabatan berkenaan.
Menurutnya, segala usaha dan kepimpinan yang dicurahkan khususnya dalam memastikan kelancaran pengurusan trafik, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta menangani pelbagai isu keselamatan jalan raya di ibu negara amat dihargai.
Pada majlis sama, seramai 32 pegawai polis turut diraikan menerusi upacara pemakaian pangkat sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian, dedikasi dan potensi kepimpinan mereka. – KOSMO! ONLINE














