SEPANG – Mahkamah Majistret di sini memerintahkan larangan bersuara (gag order) terhadap pihak-pihak terlibat dalam kes dua pertuduhan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain daripada mengeluarkan kenyataan berkaitan kes itu.
Larangan bersuara itu terpakai kepada peguam pemerhati mewakili mangsa seperti dalam dua pertuduhan selain peguam yang mewakili tertuduh dan pihak pendakwaan.
Majistret Khairatul Animah Jelani mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan yang mewakili Mohd. Shuhaily pada sebutan semula kes itu hari ini.
“Mahkamah telah mendengar permohonan pembelaan dan hujahan-hujahan oleh pihak pembelaan serta afidavit dan ekshibit yang dikemukakan. Mahkamah juga turut merekodkan bahawa pihak pendakwaan tiada bantahan terhadap permohonan ini.
“Maka mahkamah memerintahkan perintah halangan ataupun gag order (larangan bersuara) dikeluarkan bagi pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini sahaja sepertimana yang dinyatakan dalam notis usul,” kata Majistret Khairatul Animah yang kemudian menetapkan
23 Disember ini bagi sebutan semula kes.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Mohd. Shuhaily didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis masing-masing terhadap Mohamad Faiz Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Dirman, 25.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA antara pukul 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrizat Ismail, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.
Mohd. Shuhaily diwakili peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.
Dalam kejadian pada 28 September lalu itu,
kedua-dua anggota polis mendakwa mereka dikasari secara fizikal oleh Mohd. Shuhaily.
Paparan kejadian itu menjadi tular di media sosial menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).
Susulan penularan video berkenaan, Mohd. Shuhaily tampil memberikan penjelasan bahawa kejadian berlaku ketika beliau bersama pasukan menjalankan pemeriksaan kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA sempena acara Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026. – KOSMO! ONLINE














