JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan berhubung penemuan sejumlah bungkusan plastik mengandungi 22 naskhah al-Quran serta pelbagai buku agama di tepi jalan di kawasan Ulu Tiram di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintenden Victor Genason berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung penemuan itu kira-kira 7 pagi.
Beliau berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati terdapat sejumlah bungkusan plastik hitam yang mengandungi tiga naskhah terjemahan al-Quran, 18 naskhah surah Yasin serta pelbagai buku agama, buku teks sekolah dan buku tulis.
“Susulan daripada itu, pihak polis membuka satu kertas siasatan bagi mengenal pasti individu yang terlibat serta motif kejadian itu berlaku,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Victor turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian itu bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan teliti dan adil.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam menerusi talian 07-386 4222. – Bernama














