SHAH ALAM – Kira-kira 1,000 ekor ayam sehari bakal dijual pada kadar harga RM5 seekor sempena Ehsan Family Fiesta 2026 di pekarangan parkir kereta Wisma PKPS sepanjang tiga hari penganjurannya bermula 27 November ini.
Tawaran menarik menerusi Jualan Ehsan Rahmah itu merupakan antara inisiatif Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) untuk membolehkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding biasa.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung dan akan menambah bekalan ayam sekiranya mendapat sambutan menggalakkan.
“Selain ayam, beberapa barangan keperluan lain termasuk telur dan daging turut ditawarkan pada harga lebih rendah sepanjang festival berlangsung.
“Kita mahu lebih ramai masyarakat dapat menikmati hasil dan manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan PKPS menerusi tawaran harga lebih rendah,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma PKPS Seksyen 14, hari ini.
Festival bertemakan Semarak Keluarga, Meriah Bersama itu bermula pukul 3 petang hingga 11 malam pada 27 November, 8 pagi hingga 11 malam pada 28 November dan 8 pagi hingga 6 petang pada 29 November.
Antara tarikan utama ialah Ehsan Market & Experience yang menampilkan jualan produk Ehsan, Jualan Ehsan Rahmah, Ehsan Marketplace dan pameran produk.
Pelbagai aktiviti kekeluargaan turut disediakan termasuk Zumbaton, senamrobik, Ehsan Family Challenge, pertandingan mewarna, tarian, memasak berkonsepkan keluarga dan pertandingan makan buah.
Pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti misi kad setem dan mendapatkan hadiah misteri selain menikmati pelbagai pilihan makanan menerusi Ehsan Food Fiesta, trak makanan serta gerai vendor.
Dalam perkembangan berlainan, Mohamad Khairil berkata, PKPS turut menyediakan peruntukan melebihi RM20,000 bagi membantu mangsa banjir di Selangor menerusi sumbangan tunai dan bantuan makanan.
“Kami menyediakan saluran khas bagi membolehkan mangsa banjir menghubungi PKPS menerusi panggilan telefon, mesej atau WhatsApp untuk memaklumkan keperluan bantuan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














