PETALING JAYA – Hanya dengan sekali lafaz, pelakon Shiqin Kamal selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Mika Irfan Nojey di GlamHall, di sini, hari ini.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Pernikahan Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abd Salam Mahmud pada pukul 12 tengah hari berwalikan abang sulung pengantin perempuan iaitu Firozdeen.
Shiqin atau nama penuhnya Nur Ashiqin Mohd. Kamal, 35, menerima mas kahwin dua dinar emas daripada Irfan, 28, yang juga jurulatih sukan memanah dan berkuda.
Dalam majlis yang dihadiri 100 tetamu terdiri daripada keluarga dan rakan terdekat, Irfan memberi lima dulang hantaran dan dibalas tujuh dulang oleh Shiqin.
Shikin dan Irfan juga saling berbalas barangan hantaran seperti alatan sukan memanah dan pickleball.
Menariknya, tarikh pernikahan hari ini juga sempena ulang tahun kelahiran Shiqin ke-35.
Difahamkan, tempoh perkenalan mereka sekitar setahun lalu sebelum melangsungkan majlis pertunangan secara tertutup pada 29 Ogos lalu.
Pasangan mempelai tampil sedondon dalam persalinan serba putih pada hari bahagia mereka. – KOSMO ONLINE














