PETALING JAYA – Penduduk di Pulau Meranti, Puchong berdepan detik cemas apabila kawasan kediaman mereka dilanda banjir sehingga air dilaporkan mencecah paras pinggang awal pagi tadi.
Kejadian itu turut mengejutkan penduduk yang mendakwa tidak pernah berdepan situasi banjir seteruk itu meskipun sudah berpuluh tahun menetap di kawasan berkenaan.
Menerusi perkongsian pengguna Threads, @anisshaikall_, keadaan banjir di kawasan tersebut dirakam antara pukul 12 tengah malam hingga 1 pagi tadi.
“Depan sekolah agama pun banjir. Rumah nenek saya banjir hingga paras pinggang.
“Semoga dipermudahkan buat mangsa-mangsa banjir di Pulau Meranti,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Rakaman video yang dikongsikan turut memaparkan kawasan perumahan dan laluan jalan raya ditenggelami air, manakala seorang lelaki kelihatan meredah banjir dalam keadaan gelap dengan menggunakan lampu suluh.
Turut kelihatan air memasuki ruang tamu sebuah rumah sehingga menenggelamkan sebahagian perabot dan barangan kediaman.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa terkejut selain mendoakan keselamatan penduduk yang terjejas.
Malah, terdapat penduduk yang mendakwa pembangunan pesat kawasan perumahan serta pengurusan sistem saliran yang kurang baik mungkin menjadi antara faktor kejadian tersebut.
“Sudah berpuluh tahun duduk di Pulau Meranti sejak zaman arwah datuk moyang lagi. Inilah kali pertama Pulau Meranti dilanda banjir teruk.
“Banyak sangat perumahan dibina di kawasan ini. Saliran air pemaju tidak diurus dengan baik,” dakwa @arra_maira.
“Jarang dengar Pulau Meranti banjir. Apa-apa pun, semoga dipermudahkan urusan,” komen @fadruslan.
“Pernah banjir ke di sini atau kali pertama? Semoga dipermudahkan urusan sekeluarga,” ujar @qoqoelma. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














