MANTAN pengendali skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Bojan Hodak menamatkan spekulasi apabila dipilih menjadi pengemudi baharu Harimau Malaya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pemilihan Hodak dibuat selepas mengambil kira pengalaman, kemampuan serta rekod pencapaiannya yang membuktikan beliau mempunyai keupayaan untuk membimbing pasukan kebangsaan.
“FAM percaya pengalaman luas Bojan Hodak dalam bola sepak Malaysia dan rantau Asia Tenggara merupakan satu kelebihan dalam memahami persekitaran, karakter serta potensi pemain tempatan.
“Rekod kejayaan beliau bersama beberapa kelab di Malaysia dan Indonesia turut memperlihatkan keupayaannya membentuk pasukan yang kompetitif serta mampu bersaing untuk mencapai kejayaan.
“Kami berharap pelantikan ini dapat memberikan hala tuju baharu kepada Harimau Malaya, selain memperkukuh persiapan pasukan dalam menghadapi cabaran dan kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya.
Hodak bukan nama asing dalam bola sepak tempatan apabila pernah mengendalikan beberapa pasukan di negara ini termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan Kuala Lumpur City.
Malah, jurulatih dari Croatia itu memiliki rekod cemerlang di Malaysia apabila pernah memenangi pelbagai kejuaraan termasuk Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.
Lebih menarik, Hodak turut mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila membantu skuad B-19 negara muncul juara Kejuaraan B-19 ASEAN 2018.
Kerjaya bersama Persib Bandung juga bersinar apabila beliau membantu kelab itu muncul juara Liga Indonesia tiga musim berturut-turut bermula 2023/2024 hingga 2025/2026.














