KUALA LUMPUR – Kelekaan pada awal permainan menghukum Harimau Malaya apabila terpaksa menelan kekalahan 0-2 kepada China dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, esok, sebentar tadi.
Dua jaringan pantas tuan rumah dalam tempoh sembilan minit di awal babak pertama menjadi ‘bekal’ buat China untuk mengesahkan kemenangan.
Seawal minit ketiga Harimau Malaya mampu menarik nafas lega apabila pengadil perlawanan, Ko Hyungjin yang memberikan penalti kepada China merubah keputusannya selepas melakukan pemeriksaan semula Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun, gawang negara tetap bocor pada minit ke-10 menerusi Wang Yudong dan selang sembilan minit selepas itu, China makin selesa apabila memperoleh gol kedua daripada Zhang Yuning.
Selepas itu, China dilihat makin selesa mengawal permainan sebaliknya Malaysia agak sukar untuk mendekati kotak penalti lawan hingga memaksa bintang naturalisasi negara, Romel Morales turun ke bawah untuk membantu barisan pertahanan.
Ada perubahan dipamerkan pemain negara di babak kedua, menyaksikan Harimau Malaya makin berani untuk mengatur gerakan ke kubu lawan.
Fergus Tierney berjaya merobek gawang China pada minit ke-77 namun jaringan itu dibatalkan kerana kesalahan offside.
Pemain gantian, Paulo Josue hampir menghasilkan gol pertama negara namun tindakan susulannya pada minit ke-86 berjaya dihalang oleh penjaga gol tuan rumah, Li Hao. – KOSMO! ONLINE
















