PETALING JAYA – Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi gagal meraih kemenangan apabila sekadar seri 1-1 menentang Ratchaburi FC dalam aksi Liga Juara-Juara Elit (ACLE) di Stadium Ratchaburi, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Harimau Selatan terus kehilangan mata selepas tewas 0-2 kepada Jeonbuk Hyundai Motors FC sebelum ini.
Tidak mahu mengulangi kekecewaan sama, JDT mempamerkan kesungguhan untuk memburu kemenangan apabila tampil agresif sejak wisel permulaan.
Gawang Ratchaburi FC sebenarnya sudah dibolosi seawal minit kelapan menerusi Joao Figueiredo, namun jaringan tersebut dibatalkan selepas Jonathan Silva terlebih dahulu dikesan berada di kedudukan offside.
Bagaimanapun, usaha JDT akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-36 apabila kesilapan penjaga gol tuan rumah, Kampol Pathomakkakul yang gagal menangkap bola dengan kemas membuka ruang buat Marcos Guilherme meledak gol pendahuluan.
Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Ratchaburi FC memulakan babak kedua dengan lebih agresif sebelum Njiva Rakotoharimalala menyamakan kedudukan pada minit ke-56.
Tersentak dengan jaringan tersebut, JDT cuba meningkatkan tekanan bagi mencari gol kemenangan, namun sepakan percuma Oscar Arribas pada minit ke-69 sedikit melewati palang gol.
Arribas yang muncul wira Harimau Selatan ketika menewaskan Cong An Hanoi FC dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), Khamis lalu, turut memperoleh beberapa peluang terbaik selepas itu, namun gagal memanfaatkannya untuk menghasilkan jaringan.
Kedua-dua pasukan terus saling mengasak, namun ketumpulan penyudah menyaksikan tiada lagi jaringan terhasil sekali gus memaksa JDT pulang dengan hanya satu mata. – KOSMO! ONLINE














