SUSPEK cuba untuk memohon pasport bagi membolehkannya untuk pergi menjadi tentera upahan Russia. - Imigresen Depok

Tertarik gaji RM205,000, lelaki Indonesia cuba jadi tentera upahan Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Cubaan seorang lelaki di Depok, Jawa Barat untuk berlepas ke Russia bagi menyertai pasukan tentera upahan digagalkan oleh pihak berkuasa imigresen  selepas individu tersebut dikesan mengemukakan maklumat palsu ketika memohon pasport, lapor saluran berita Kompas. 

Suspek berusia 34 tahun yang hanya dikenali sebagai DA itu dipercayai terpedaya dengan tawaran lumayan daripada sindiket yang merekrut tentera upahan.

Ketua Seksyen Perisikan dan Penguatkuasaan Imigresen, Pejabat Imigresen Depok, Shalahuddin Al Ayubi berkata, siasatan mendapati DA dijanjikan bayaran pendahuluan berjumlah AS$50,000 (RM205,000) untuk menyertai pasukan tersebut.

“Berdasarkan hasil siasatan, individu berkenaan mengakui rancangan pemergiannya didorong oleh faktor ekonomi dan umpan gaji yang lumayan,” ujar Shalahuddin dalam satu kenyataan media hari ini.

Muslihat lelaki itu terbongkar selepas pegawai bertugas mengesan percanggahan ketara berhubung status pekerjaan dan tujuan perjalanannya semasa mengemukakan permohonan pasport  pada 18 November lalu.

Pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit milik suspek turut menemui bukti perbualan berkaitan proses pengambilan tentera upahan Rusia menerusi aplikasi Telegram.

Menerusi perbualan tersebut, pihak perekrut turut menawarkan gaji bulanan antara AS$3,000 (RM12,000) hingga AS$6,000 (RM24,000).

Selain itu, terdapat juga bayaran pampasan sekiranya mengalami kecederaan berjumlah AS$50,000 (RM205,000) dan pampasan sekiranya meninggal dunia sebanyak AS$167,000 (RM680,000) .

Shalahuddin mendedahkan bahawa pada awalnya, DA mendakwa bekerja sebagai pengawal keselamatan dan memohon pasport untuk tujuan melancong ke Malaysia bersama rakannya.

“Namun, dia gagal mengemukakan kad pengenalan pekerja mahupun sebarang dokumen sokongan bagi membuktikan pekerjaannya, menyebabkan permohonan pasport tersebut terus ditangguhkan,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN