Anggota bomba ketika mengangkat mayat mangsa pagi tadi.

‘Azrul jerit minta tolong sebelum hilang di bawa arus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ROMPIN – Seorang remaja, Mohamad Azrul Ashraf Oyob, 16, masih sukar melupakan laungan Mohammad Nur Afzuar Abdullah, 16, yang meminta tolong sebelum rakan baiknya itu lemas dalam kejadian di Kuala Sungai Endau di sini kelmarin.

Dalam kejadian itu, mangsa yang mayatnya ditemukan semalam dikatakan pergi ke Kuala Sungai Endau untuk beriadah sambil mencari kepah bersama bapa saudara dan rakannya daripada Felda Keratong dekat sini.

Mohamad Azrul berkata, semasa kejadian kira-kira pukul 4.50 petang dia berada di tebing sungai manakala mangsa yang baru lepas mencari kepah telah berada di dalam sungai untuk mandi.

“Saya nampak dia mandi seorang diri dan tiba-tiba dia panggil nama saya meminta tolong sebelum bapa saudaranya bergegas menolongnya dan sudah hampir mencapai tanngannya.

“Namun tiba-tiba sebuah kapal nelayan lalu menyebabkan sungai berombak dan dia (mangsa) terus hilang di bawa arus,”katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rompin di sini hari ini.

Menurutnya, kehilangan rakan baiknya yang sama-sama belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Razak di Keratong itu amat terasa kerana mangsa merupakan rakan yang baik dan suka membantu orang.

Katanya, dia berasa terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan mangsa yang meminta tolong malah dia sudah pasti tidak akan dapat melupakan detik terakhir melihat mangsa meminta pertolongan.

Dalam pada itu bapa saudara mangsa, Muhammad Rafi Mokhtar,31, berkata mangsa yang telah empat tahun tinggal bersamanya di Keratong merupakan anak yang baik dan disenangi semua orang.

Katanya dia tidak menyangka kali terakhir melihat mangsa Sabtu lalu yang kelihatan agak pucat memberi petanda dia akan pergi buat selamanya.

“Sabtu lalu saya ada lihat dia di rumah agak pelik kerana dia kelihatan pucat daripada muka dan kaki, saya bertanyakan dan dia hanya diam dan terseyum,”katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba Rompin, Afandi A. Halim berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira lima kilometer daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Katanya, mayat mangsa yang ditemukan oleh orang kampung kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat. – KOSMO ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN