JAKARTA – Usahawan dan pencipta kandungan Denise Chariesta baru-baru ini membeli rumah pertamanya berharga 12 bilion rupiah (RM3.36 juta), lapor laman berita Detikjatim hari ini.
Rumah mewah itu adalah hasil kerja keras dan doanya selama lima tahun.
“Kali pertama saya bertemu (Feni Rose, pengacara No Secret), saya masih menyewa rumah, saya berlagak kaya. Saya benar-benar jadi kaya lima tahun kemudian,” kata Denise dalam program No Secret di Trans TV yang dipetik hari ini.
Denise Chariesta mula terkenal selepas satu klip videonya menjadi tular pada tahun 2020.
Pada masa itu, Denise berkata bahawa orang kaya sepatutnya melepak di pusat beli-belah, manakala bersantai di kaki lima bukanlah sebahagian daripada kehidupan sosial mereka.
Kandungan tersebut dianggap angkuh dan mengundang kecaman netizen serta selebriti. Denise memohon maaf dan menjelaskan bahawa kandungan itu sekadar jenaka.
Pada masa itu, ketika dia diundang ke pelbagai rancangan, terutamanya program televisyen, Denise menampilkan imej kaya.
Selepas membeli rumah pertamanya, Denise mengaku bahawa semasa awal kerjayanya, dia sebenarnya langsung tidak kaya.
Malah, dia tinggal di apartmen sewa semasa tempoh tular itu. Bagaimanapun, kini, melalui kerja keras dan penghasilan kandungan media sosial yang konsisten, dia mampu membeli rumah sendiri di Jakarta Selatan.
“Rumah pertama saya, bernilai 12 bilion rupiah adalah hasil daripada berlagak kaya selama lima tahun. Ternyata, alhamdulillah, kata-kata itu satu doa. Kata-kata tidak mengkhianati hasil. Alhamdulillah, saya betul-betul kaya. Sekarang saya tidak mahu berlagak kaya lagi,” kata dedah Denise dalam rancangan No Secret yang ditayangkan pada Julai lalu.
Rumah tersebut mempunyai empat tingkat. Beberapa bahagian sedang diubah suai sejak dia membeli rumah lama itu.
Halamannya mempunyai kolam renang, kawasan berkumpul di luar, rumah hijau khas untuk dapur, dan bangunan utama.
Selain menjadi kediaman peribadi, beberapa bilik digunakan sebagai pejabat, termasuk ruang tamu. Denise memiliki beberapa perniagaan, termasuk kedai bunga, pakaian, produk pelangsingan, dan penjagaan kulit.
“Kata-kata adalah doa. Setiap pagi saya berkata kepada diri sendiri di hadapan cermin: Saya kaya, sembilan kali. Saya bersyukur, saya bersyukur,” kata Denise. – AGENSI.














