PETALING JAYA – Hujan lebat yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam petang ini mengakibatkan beberapa laluan di kawasan berkenaan mula dinaiki air.
Menerusi perkongsian beberapa pengguna di platform Threads, keadaan itu turut menyaksikan kawasan deretan premis perniagaan dan tempat letak kenderaan ditenggelami air.
Rakaman dikongsikan pengguna @nkysfz yang memaklumkan situasi tersebut pada pukul 3.22 petang memaparkan beberapa buah motosikal yang diparkir hampir separuh tenggelam.
Turut kelihatan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna putih meredah banjir sehingga menghasilkan ombak kecil di sepanjang laluan berkenaan.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @jujue0301_ turut berkongsi rakaman memperlihatkan keadaan hujan lebat dengan air mula memenuhi permukaan jalan di kawasan tersebut.
Sementara itu, pengguna @nasrullnordin turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada susulan peningkatan paras air di kawasan berkenaan.
“Hujan lebat di Taman Sri Muda, air mula naik. Hati-hati semua,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menerusi amaran yang dikeluarkan pada pukul 1 tengah hari memaklumkan ribut petir dan hujan lebat dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor sehingga pukul 5 petang ini.
Antara kawasan terlibat ialah Kuala Langat, Sepang, Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat, Petaling dan Klang.– KOSMO! ONLINE
View on Threads














