PETALING JAYA – Dua beranak didakwa hampir menjadi mangsa samun ketika sedang mengisi minyak di sebuah stesen di Kampung Paya, Kepala Batas, Pulau Pinang pukul 7.52 pagi tadi.
Kejadian itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) stesen minyak tersebut serta dimuat naik seorang pengguna Threads Amirul Hans yang memaklumkan, dua beranak tersebut ibu dan adiknya.
Menerusi rakaman itu, adik kepada pengguna Threads itu sedang mengisi minyak di salah satu pam, manakala ibunya yang memandu kereta itu menunggu di dalam kenderaan tersebut.
Kelihatan seorang lelaki menghampiri kereta tersebut dan dia seperti melihat sekeliling dan kemudian pergi ke arah tepi pintu bahagian pemandu kenderaan berkenaan.
Lelaki itu dilihat cuba membuka pintu bahagian pemandu dan ibu Amirul Hans yang berada di dalam segera menutup pintu dan bergerak dari situ.
Adiknya yang berada di luar kereta itu turut berlari sebaik selesai mengisi minyak dan dipercayai pergi ke arah ibunya yang sedang menunggu, manakala lelaki berkenaan dilihat masih berlegar di kawasan tersebut.
“Ibu dan adik aku hampir kena samun dekat Kepala Batas, dia cuba buka pintu kereta guna hack device (penggodaman peranti) ada sapa (siapa) kenai (kenal) dak (tak)? Dah hon panjang, tapi semua ignore (tak peduli),” dakwanya pada satu hantaran hari ini.
Menjawab pertanyaan orang ramai, dia memaklumkan kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak polis.
Pada video lain, Amirul Hans memuat naik rakaman dari kereta menunjukkan seorang lelaki didakwa individu sama sedang duduk di motosikalnya berdekatan stesen minyak tersebut.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada orang ramai termasuk ibu Amirul Hans yang memandu kereta tersebut serta menggunakan akaun Threads I_amnieta.
“Saya ibu kepada anak saya yang tengah isi minyak tu. Memang saya ada di tempat driver (pemandu), waktu tu tengah tunggu anak isi minyak. Tiba-tiba datang seorang lelaki di depan kereta. Saya dah nampak pelik terus saya lock (kunci) pintu. Dia datang sebelah saya dan cuba buka pintu.
“Waktu tu saya memang hon panjang, orang-orang kat situ seorang pun tak reaction (bertindak). Masing-masing macam tengok saja. Saya dah nampak dia keluarkan kunci untuk unlock (buka kunci) pintu.
“Saya sedia tunggu anak saya selesai isi minyak memang saya nak pecut. Dah anak tutup pintu minyak, baru saya gerak, dia berjaya buka pintu. Alhamdulillah semua selamat,” dakwa wanita tersebut.
Dalam masa sama, orang ramai meninggalkan komen mengingati semua pemandu agar lebih berwaspada sewaktu mengisi minyak terutama kepada golongan wanita.
“Astaghfirullahalazim. Syukur selamat semuanya. Siang-siang dia berani buat kerja gitu. Tolong hati-hati ya perempuan kat luar sana,” komen Kakashiiifans.
“Risaunya, saya duduk kawasan ni juga. Selalu pi isi minyak tang ni. Dah kunci kereta pun masih tak selamat,” kata Sicekelatmaneh. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram














