KOS penghasilan drama mikro AI jauh lebih rendah berbanding proses penggambaran konvensional.

Drama mikro AI cipta fenomena di seluruh dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam kesibukan waktu petang di Shanghai, China, seorang wanita berusia separuh abad duduk di dalam gerabak kereta api metro sambil menundukkan kepala melihat video-video pendek di telefon bimbitnya.

Dia dilihat meneliti berpuluh-puluh video pendek kerana sukar menemui satu pun drama mikro yang dihasilkan menggunakan pelakon dan kamera sebenar.

“Sekali pandang, semua wajah pelakon dan babak ini dijana oleh AI (kecerdasan buatan). Jika tidak dilihat dengan teliti, sukar untuk membezakan pelakon sebenar dan pelakon AI,” katanya kepada portal Global Times.

Sementara itu, dalam sebuah bilik asrama kolej di kota New York, Amerika Syarikat, seorang pelajar terjumpa sebuah drama mikro suspens buatan China di TikTok.

Landskap pasca apokaliptik yang kelihatan begitu realistik serta ekspresi watak yang halus membuatkan dia menyangka sedang menonton treler filem terbaharu keluaran Hollywood.

“Tunggu, sebenarnya ia dijana oleh AI?” tulisnya di ruangan komen kerana terkejut melihat betapa realistik drama tersebut.

Dua anekdot yang kelihatan jauh berbeza itu sebenarnya dihubungkan oleh faktor sama iaitu drama mikro janaan AI dari China. Aplikasi penstriman drama pendek terkenal seperti ReelShort juga berasal dari China.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, drama mikro AI telah membanjiri skrin telefon pengguna di China, sebelum dibawa oleh arus ‘internet’ menembusi pasaran global.

Menurut sebuah platform industri terkemuka, DataEye, pasaran global bagi drama AI dan drama animasi di seluruh dunia dianggarkan bernilai sekitar AS$100 juta (RM409 juta) pada tahun lalu.

Ia melonjak kepada AS$650 juta (RM2.7 bilion) pada tahun ini, iaitu peningkatan sebanyak 550 peratus.

Sementara itu, akhbar Hubei Daily pada Mei lalu melaporkan, sebuah drama mikro janaan AI bertajuk, The Persian Revenge dilaporkan hanya menelan kos pembikinan sebanyak AS$443 (RM1,820).

Namun dalam tempoh 72 jam selepas disiarkan di platform antarabangsa, YourChannel, drama tersebut berjaya menjana pendapatan melebihi AS$500,000 (RM2.1 juta).

Pulangan melebihi 1,000 kali ganda daripada kos penerbitan menjadikan siri The Persian Revenge antara titik penting dalam perluasan industri drama mikro AI China ke pasaran luar negara.

DIANGGARKAN sekitar 2 juta individu di China terlibat dalam kerja-kerja berkaitan drama mikro AI.

“Kos pembikinan drama ini hanya cukup untuk kru penggambaran tradisional menyewa lokasi di beberapa bandar raya luar negara selama setengah hari,” memetik laporan berkenaan.

Hakikatnya, penggunaan AI telah menurunkan kos penerbitan secara drastik dalam industri filem dan televisyen.

Seorang pemerhati industri drama mikro AI, Ni Kaomeng berkata, gelombang pertama drama mikro AI China ke peringkat global sebahagian besarnya didorong oleh faktor penjimatan kos.

Ujarnya, sebelum teknologi AI mencapai tahap matang, drama mikro China yang memasuki pasaran luar negara berintensifkan modal.

Mengimbas kembali tahun-tahun sebelumnya, Kaomeng berkata, proses penggambaran di luar negara atau membina set studio di China dan mengupah pelakon asing bukan sahaja memerlukan modal besar, malah memakan masa lama.

Kini, AI telah mengubah kos tersebut hampir dalam sekelip mata.

Selain itu, proses menterjemah drama mikro China untuk tayangan di luar negara juga boleh menelan belanja puluhan ribu yuan.

Namun kini, terjemahan dan alih suara (dubbing) dijana AI mampu mengurangkan kos sebanyak lebih 90 peratus, di samping melonjakkan tahap ketepatan menterjemah melebihi 95 peratus.

“Pada akhir tahun 2024, kami mendapati beberapa produksi sudah mula menggunakan AI untuk menghasilkan drama mikro bagi tontonan penonton luar negara.

“Tiada keperluan untuk mengupah pelakon asing dan membina set penggambaran. Malah, proses menterjemah dan alih suara dijana dengan hanya satu klik.

“Kos pengeluaran drama pendek telah turun dengan mendadak. Kemudian, model ini berkembang pesat daripada sekadar terjemahan ringkas dan pertukaran wajah (face-swapping) kepada sesuatu yang lebih canggih.

“Misalnya, penciptaan pelakon dan set babak khusus yang membolehkan pengeluaran drama mikro AI dijalankan pada skala industri,” ujarnya.

Menariknya, portal Securities Daily melaporkan, tempahan drama mikro AI China di luar negara meningkat dengan mendadak menerusi pertumbuhan sehingga 50 kali ganda.

Sebahagian daripada drama mikro AI China telah meraih populariti luar biasa apabila berjaya menarik jumlah tontonan yang tinggi, sekali gus mencetuskan fenomena tular menerusi sedutan klip video pendek di media sosial.

Sebagai contoh, drama Revenge of XXL Wife telah melepasi 200 juta tontonan terkumpul merentasi pelbagai klip video pendek di media sosial.

Namun begitu, lonjakan jumlah pengeluaran itu turut membawa kepada kualiti yang tidak sekata.

Menurutnya, produksi premium sebegitu biasanya lebih kemas, mempunyai naratif yang kompleks dan jauh lebih menguntungkan berbanding drama tempatan di China.

“Produksi berkualiti tinggi menghasilkan drama setanding piawaian televisyen Amerika Syarikat, malah ada yang telah berjaya dijual kepada Netflix,” ujarnya.

Dalam pada itu, eksport drama mikro AI China ke luar negara bukan sekadar pendekatan kandungan ‘satu acuan untuk semua’. Sebaliknya, setiap negara dan rantau mempunyai cita rasa tontonan yang berlainan.

Menurut data pembangunan industri drama mikro China, genre romantik masih menyumbang lebih daripada 70 peratus daripada jumlah tontonan global.

BANYAK drama mikro AI dari China mengetengahkan genre peperangan zaman silam kerana sukar dihasilkan secara realiti.

“Drama-drama genre berkenaan sangat popular dalam kalangan wanita berusia 45 hingga 64 tahun di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Di Amerika Latin dan Jerman, penonton lebih cenderung menggemari kisah jenayah serta dendam, manakala penonton muda di Asia Tenggara pula lebih tertarik kepada naratif fantasi.

Kecenderungan ini turut mencerminkan corak tontonan bagi drama pendek AI,” lapor agensi berita Xinhua.

Seiring dengan lonjakan bilangan drama mikro AI yang menembusi pasaran luar negara, ekosistem yang menyokong industri itu juga mula terbentuk.

Pengarah Vobile Group iaitu syarikat penyedia perkhidmatan perlindungan hak cipta digital, Yangbin Wang berkata, kandungan ciptaan AI tidak ketandusan jalan cerita yang baik.

Katanya, apa yang kurang adalah rantaian lengkap yang merangkumi pengesahan hak cipta sehinggalah ke pemasaran global.

Pada awal tahun ini, drama Ma: The Word We’re Born With tular, dan turut memenangi beberapa anugerah di dalam serta luar negara.

Namun, apabila pasukan produksi cuba menjana pendapatan daripada karya tersebut di platform luar negara, mereka mendapati sukar untuk melepasi syarat kelayakan asas saluran YouTube.

Misalnya, mereka gagal memenuhi syarat jumlah pelanggan dan masa tontonan tertentu sebelum boleh memohon Program Rakan Kongsi bagi menjana pendapatan.

“Kami sentiasa berusaha membuka laluan pengedaran ke luar negara bagi membolehkan drama ini diterbitkan di platform asing dan mula menjana pendapatan kreatif.

“Bagi mengelak kandungan yang dijana AI lebih mudah disalin, dipotong atau disalahgunakan, kami menggunakan teknologi cap jari digital serta ‘watermarking’ bagi menjadikan drama ini mudah dikenal pasti serta dilindungi,” ujar pengarah drama Ma: The Word We’re Born With, K-Lau.

Di peringkat dasar pula, pemerintah di Shanghai telah mengeluarkan satu dasar sokongan untuk drama mikro AI pada Mei lalu, dengan menekankan keperluan memperkukuhkan perlindungan hak cipta.

Namun begitu, dengan kebanjiran pemain industri yang berlumba-lumba menyertai sektor tersebut, pasaran drama mikro AI di luar negara menjadi semakin ‘sesak’.

“Persaingan dalaman yang sengit sudah mula kelihatan,” kata pencipta drama pendek AI berpengalaman merangkap pengasas StoryStorm iaitu sebuah komuniti pencipta kandungan AI di China, Song Donghuan.

Bagaimanapun, Donghuan memberitahu, harga pembelian drama mikro AI China oleh pembeli luar negara semakin merosot.

“Tahun lalu, beberapa platform luar negara membayar 4,000 yuan (RM2,450) seminit. Pada tahun ini, disebabkan pembangunan pantas AI domestik telah meningkatkan pengeluaran drama secara mendadak. Disebabkan itu, ada pihak yang menekan harga serendah 500 yuan (RM306) seminit,” katanya.

Menurutnya, harga tersebut hampir tidak cukup untuk menampung kos pengkomputeran, dan mungkin menjadi trend yang tidak sihat serta boleh mematahkan semangat para pengiat.

Sementara itu, hasil tinjauan daripada portal Guangming Daily, kira-kira 128,000 drama mikro pendek telah dilancarkan pada suku pertama tahun ini, di mana sekitar 122,000 daripadanya dijana oleh AI iaitu merangkumi lebih 95 peratus.

Lonjakan sektor itu turut mencetuskan peningkatan mendadak dalam jumlah penggiatnya.

Donghuan menganggarkan, sekitar 2 juta individu di China kini terlibat dalam kerja-kerja berkaitan drama mikro AI, termasuk ramai yang beralih daripada industri drama tradisional.

Pada awal tahun 2024, ketika sebahagian besar industri masih menggunakan AI hanya untuk menghasilkan bahan ringkas berdurasi beberapa saat, Bona Film Group telah menubuhkan pusat pengeluaran AIGMS (Filem/Siri Dijana AI) dan mula menerbitkan kandungan AI secara serius.

“Tema yang kami pilih mungkin antara yang paling sukar untuk direalisasikan seperti tapak Runtuhan Sanxingdui di China,” kata Ketua Pusat Pengeluaran AIGMS Bona Film Group, Quji Xiaojiang.

Ketika itu, tapak tamadun purba China yang diselubungi misteri itu amat sukar dijana secara meyakinkan oleh AI.

Namun, pasukan tersebut hanya mengambil masa lima bulan melalui proses cuba jaya untuk menghasilkan sebuah drama mikro animasi AI 12 episod bertajuk Sanxingdui – Future Revelation.

“Disebabkan kekangan teknikal pada waktu itu, kami meminta AI menjana kandungan terlebih dahulu, kemudian barulah kami menulis jalan cerita berdasarkan apa dihasilkan.

“Watak utama dalam siri itu adalah pahlawan terakhir umat manusia, satu konsep yang sebenarnya tercetus secara tidak sengaja daripada imej babak hari kiamat yang dijana oleh AI,” imbasnya.

Sementara itu, Kaomeng memaklumkan, kemasukan syarikat perfileman profesional dalam industri drama mikro AI dilihat oleh sesetengah pemerhati sebagai kemenangan buat para penggiat sedia ada.

“Penerbitan berkualiti tinggi mungkin merangkumi kurang daripada 10 peratus, dan masih terdapat sejumlah besar kandungan AI bermutu rendah di pasaran.

“Bagaimanapun, saya yakin drama mikro AI domestik di China telah pun melepasi fasa pertumbuhan tidak terkawal.

“Pada hari ini, teknologi bukan lagi halangan terbesar. Penceritaan, ekspresi budaya dan operasi yang mematuhi peraturan merupakan teras sebenar bagi drama mikro AI,” katanya.

Dia juga meramalkan bahawa drama mikro AI China akan terus mengukuhkan kehadirannya di pasaran global dengan menggabungkan elemen interaktif, naratif bercabang dan format baharu.

“Sudah tiba masanya untuk membawa kisah asli China ke dunia yang lebih luas melalui imej digital berkuasa AI,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN