LIVERPOOL– Mauricio Pochettino meminta semua pihak memahami ‘keadaan’ yang menyebabkan Manchester United mengalami kekalahan 0-4 kepada Liverpool awal pagi semalam.
Keputusan tersebut merupakan permulaan paling buruk bagi seorang pengurus baharu United dalam tempoh 100 tahun menyebabkan kelab itu kekal dalam zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Kekalahan itu bermula apabila Leny Yoro dilayangkan kad merah pada minit kelapan selepas melakukan kekasaran terhadap Alexander Isak dan pengadil Sam Barrott menganggap tindakan tersebut telah menghalang peluang jelas untuk menjaringkan gol.
United terpaksa beraksi dengan 10 pemain selama lebih 80 minit menentang Liverpool dan Pochettino percaya kekalahan memalukan tersebut berpunca daripada insiden kad merah Yoro.
“Anda perlu melihat keadaan sebenar. Jika tidak, terlalu mudah untuk sesiapa juga bercakap. Selepas lapan minit, kami kehilangan seorang pemain, kemudian dibolosi dalam situasi tersebut dan masih perlu bermain selama 80 minit lagi. Adakah anda fikir perkara itu mudah?
“Walaupun pasukan terbaik di dunia sekalipun, jika bermain dalam keadaan seperti ini, boleh dibolosi empat gol atau lebih. Kami tidak akan terus mengalami kekalahan seperti ini. Kami merasai kesakitan tersebut, tetapi kami akan terus bekerja keras,” katanya.
Pochettino turut menegaskan bahawa United sepatutnya diberikan sepakan penalti sebelum insiden kad merah Yoro susulan cabaran Jérémy Jacquet terhadap Bryan Mbeumo.
“Saya tidak bersetuju dengan keputusan kad merah itu kerana saya berpendapat Isak belum mengawal bola itu sepenuhnya.
“Yoro, sedang berlari bersamanya. Isak menyedari sentuhan pertamanya terhadap bola tidak begitu baik, lalu memperlahankan larian dan berhenti seketika. Pada ketika itu, Yoro datang dari belakang dan berlaku sentuhan kecil sebelum Isak terjatuh.
“Itu bukan kekasaran. Tetapi, jika anda melihat dua minit sebelumnya, iaitu situasi Jacquet dan Mbeumo, bagaimana pula? Kita boleh melakukan kesilapan, tetapi kami dihukum sedangkan pihak lawan tidak,” jelasnya. – AGENSI














