PETALING JAYA- Kisah murni individu yang meninggal dunia namun terus berbakti kepada orang lain melalui pendermaan organ terus tular di media sosial hari ini, sekali gus memberikan gambaran kepada keterbukaan rakyat Malaysia untuk mendaftarkan diri sebagai penderma.
Hari ini, kisah mengenai individu yang meninggal dunia namun kekal berbakti kepada pihak lain diceritakan oleh pemilik akaun Facebook @Johor Bahru yang menceritakan mengenai kemuliaan individu dikenali sebagai Nurul Natasya Ahmad Jaafar.
Menerusi video dimuat naik pemilik akaun itu, Nurul Natasya dilaporkan mengalami kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada Khamis lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
“Arwah koma hingga tengah hari Ahad sebelum meninggal dunia. Ahli keluarga bersetuju mendermakan organ dan pagi Isnin akan diuruskan perdermaan ini sebelum dibawa ke Surau Setia Tropika (untuk urusan pengebumian),” katanya.
Dalam hantaran sama, rata-rata pengguna media sosial itu menzahirkan ucapan takziah dengan menyifatkan tindakan itu bakal menjadi ladang pahala kepada Allahyarham.
“Salam takziah untuk keluarga arwah. Ihsan yang hebat pahalanya akan terus mengalir,” kata @Puan Kay.
“Al Fatihah, salam takziah buat sahabatku Ahmad Jaafar atas pemergian anakanda tercinta. Moga Allah tempatkan dia bersama para solihin,” doa @CTAishah.
“Salam takziah, moga syurga tertinggi buatmu,” ujar @Syazni Jamal. -KOSMO! ONLINE














