PETALING JAYA – Pengguna jalan raya di sekitar laluan Permas Jaya menghala ke Plentong Baru, Johor Bahru gempar apabila sebuah lubang besar yang dipenuhi air terbentuk secara tiba-tiba di tengah jalan, mengakibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta terperosok ke dalamnya.
Kejadian tersebut tular di laman sosial Threads hari ini selepas beberapa pengguna jalan raya berkongsi rakaman video serta gambar keadaan lubang berkenaan yang didakwa amat berbahaya kepada pengguna laluan itu.
Menerusi perkongsian pengguna @eylanaila_, kelihatan seorang penunggang motosikal terpaksa dibantu orang awam untuk menarik keluar motosikalnya yang terjatuh ke dalam lubang berair tersebut.
“Tak, sekarang ni macam mana boleh ada lubang besar dekat situ? Malam tadi lalu tak ada pun. Apa-apa pun semoga dipermudahkan urusan abang itu,” tulisnya.
Tidak lama selepas itu, seorang lagi pengguna Threads @alysra__ memuat naik hantaran memaklumkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza berwarna perak pula menjadi ‘mangsa’ apabila bahagian hadapan kenderaan itu terbenam ke dalam lubang yang sama.
“Besar gila lubang itu, tadi tengok ada orang muat naik (hantaran) motosikal masuk lubang itu, ini baru sahaja lalu tadi kereta pula masuk. Semoga dipermudahkan urusan abang itu,” katanya.
Tinjauan menerusi gambar yang dikongsikan orang ramai turut mendapati lubang bersaiz besar itu terletak berhampiran kawasan bawah jejambat dan dipenuhi takungan air keruh dipercayai berpunca daripada aliran air bawah tanah.
Sementara itu, seorang lagi pengguna @qmohd_, menasihatkan penduduk sekitar Permas Jaya dan Plentong Baru yang ingin ke tempat kerja atau pulang agar menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan serta risiko kemalangan.
“Warga Permas Jaya atau Plentong Baru yang nak pergi kerja atau balik kerja lalu jalan ini nanti boleh guna laluan alternatif. Air kuat bawah tanah boleh jadi lubang besar,” ujarnya.
“Pagi tadi pun ada kakak seorang ini jatuh juga,” kongsi @atiqasrolasyraf.
“Berapa ramai dah agaknya jatuh, pagi tadi lalu pak cik tu yang jatuh,” kata @nursabrinasamsudin.
Penghadang jalan berwarna jingga juga dilihat telah diletakkan berhampiran lubang tersebut sebagai langkah amaran awal kepada pemandu lain yang melalui kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














