Penyerahan projek PPUN Rizab Semulajadi Semenggoh, Kuching kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak, baru-baru ini.

Projek PPUN perkukuh kemudahan pelancongan di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Program Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bertujuan memelihara warisan serta memperkukuh infrastruktur dan tarikan pelancongan di seluruh Malaysia.

Usaha membaiki, mengubah suai, dan menaik taraf kemudahan pelancongan di Sarawak menerusi Projek PPUN pada tahun 2025 menyaksikan beberapa projek di lokasi tumpuan pelancong berjaya disiapkan sepenuhnya demi keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Kejayaan itu sekali gus memperkukuh kemudahan asas serta prasarana untuk kegunaan orang ramai.

Antara pencapaian utama ialah pelaksanaan projek menaik taraf kemudahan pelawat di Rizab Semula Jadi Semenggoh dan Rizab Semula Jadi Tun Ahmad Zaidi, selain penambahbaikan infrastruktur di beberapa lokasi inap desa serta Kampung Budaya Sarawak.

Berdasarkan rekod pelaksanaan, 10 projek yang diketengahkan telah mencapai status siap sepenuhnya, dengan jumlah peruntukan diluluskan sebanyak RM2.65 juta.

Di Kuching, projek menaik taraf dan penyelenggaraan kemudahan pelawat di Rizab Semula Jadi Semenggoh menerima peruntukan RM250,000 dan disiapkan pada 20 September 2026.

Projek yang dilaksanakan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC) itu melibatkan kerja menaik taraf serta membaik pulih pagar laluan di pintu masuk utama, selain laluan kayu dan gazebo atau tempat rehat sedia ada.

Penambahbaikan berkenaan memberi tumpuan kepada kemudahan pengunjung yang menggunakan laluan serta kawasan rehat di rizab semula jadi itu.

Penambahbaikan prasarana asas di lokasi tumpuan penting untuk keselesaan pengunjung.

Satu lagi projek di bawah SFC ialah menaik taraf dan menyelenggara kemudahan pelawat di Rizab Semula Jadi Tun Ahmad Zaidi, Sibu, yang turut menerima peruntukan RM250,000.

Projek ini disiapkan sepenuhnya pada 20 September 2026 melibatkan kerja menaik taraf dan membaik pulih kemudahan di laluan pintu masuk utama, termasuk pondok pengawal keselamatan serta tandas awam.

Kemudahan tempat letak kereta untuk kegunaan pengunjung turut dinaik taraf bagi melengkapkan prasarana di kawasan berkenaan.

Dalam usaha memperkukuh kemudahan pelancongan berasaskan komuniti, projek menaik taraf Homestay Rh. Margretta Kerangan Buloh di Julau turut berjaya di­si­ap­kan pada 6 Januari 2026.

Projek bernilai RM200,000 ini melibatkan beberapa komponen utama termasuk menaik taraf jeti Jalai Pandai, pagar, tandas awam, pusat informasi pelancong serta landskap.

Di Serian pula, kemudahan laluan tumpuan pelancong di Homestay Lobang Batu turut menerima penambahbaikan menerusi peruntukan RM250,000.

Projek ini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Daerah Serian meli­batkan pembinaan dan naik taraf laluan pejalan kaki jenis plank walk sepanjang 200 meter serta pemasangan pagar penghadang (hand railing). Kerja-kerja ber­kenaan disiapkan sepenuhnya pada 22 Mac 2026.

Sementara itu, Taman Periuk Kera dan Orkid Liar di bawah selia­an Majlis Perbandaran Padawan (MPP) menerima peruntukan sebanyak RM250,000 bagi kerja menaik taraf kemudahan sedia ada merangkumi penambahbaikan pejabat dan galeri, English Garden, kolam ikan serta pam, serta membaiki laluan pejalan kaki, menaik taraf pergola dan longkang perimeter.

Projek ini bermula pada 4 Julai 2025 dan disiapkan sepenuhnya pada 21 Disember 2025, manakala majlis penyerahan projek telah diadakan pada 4 Februari 2026.

Satu lagi pencapaian penting ialah projek menaik taraf kemudahan infrastruktur dan bangunan etnik di Kampung Budaya Sarawak, Kuching yang dilaksanakan oleh Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) dengan kos projek sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf laluan pejalan kaki jenis plank walk sepanjang 200 meter serta pemasangan pagar penghadang.

Projek berkenaan telah disi­ap­kan pada 22 Februari 2026 dan maj­lis penyerahan telah diadakan pada 7 September tahun sama.

Majlis penyerahan projek menaik taraf kemudahan infrastruktur dan bangunan etnik di Kampung Budaya Sarawak, Kuching baru-baru ini.

Pada masa sama, beberapa projek lain masih dalam pelaksanaan di negeri Sarawak. Antaranya kerja menaik taraf kemudahan pelanco­ngan di Taman Negara Bako yang turut dilaksanakan oleh pihak SFC dan dijangka akan siap sepenuh­nya pada minggu kedua Disember 2026.

Projek dengan peruntukan RM250,000 ini telah mencatatkan kemajuan sebanyak 95 peratus pada bulan Oktober 2026 dan baki kerja adalah pemasangan rope clamp.

Satu lagi projek PPUN di Taman Bukit Lambir, Miri dengan kos projek sebanyak RM250,000 turut berada di peringkat pelaksanaan de­ngan kemajuan 95 peratus.

Projek ini melibatkan kerja menaik taraf tandas awam, lampu jalan, tandas di kawasan Latak Waterfall serta paip pembetungan di tandas awam.

Kerjasama antara MOTAC de­ngan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pelbagai agensi pelaksana lain di Ne­geri Sarawak akan terus diperkukuh bagi memastikan projek pemba­ngunan pelancongan di sana dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan.

Usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada langkah Kementerian untuk memperkukuh pembangunan sektor pelancongan negeri melalui penyelarasan projek serta pemantauan pelaksanaan yang lebih sistematik.

Penambahbaikan prasarana asas seperti laluan pejalan kaki, tandas awam, jeti, pagar keselamatan dan pusat informasi pelancong pen­ting bagi memastikan kemudahan di lokasi tumpuan dapat digunakan dengan selamat dan selesa serta memenuhi keperluan pengunjung.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN