PETALING JAYA – Malaysia mengukuhkan hasratnya untuk menjadi hab pelancongan kapal persiaran terkemuka di Asia Tenggara menerusi penganjuran Seatrade Cruise Asia 2026, sebuah persidangan industri kapal persiaran serantau yang berprestij.
Ia berlangsung di Waldorf Astoria Kuala Lumpur dari 16 hingga 17 November 2026, diikuti dengan program lawatan suai kenal yang dirangka khas di Pulau Pinang dari 18 hingga 19 November 2026.
Dianjurkan sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, persidangan dua hari ini menarik lebih daripada 500 delegasi daripada kira-kira 30 buah buah negara menjadikannya sebagai yang terbesar pasca pandemik.
Delegasi terdiri daripada eksekutif syarikat kapal persiaran antarabangsa, pengendali pelabuhan dan terminal, pihak berkuasa pelancongan, pengendali pelancongan, agensi kerajaan serta pelbagai pihak berkepentingan industri.
Seatrade Cruise Asia 2026 dianjurkan oleh Informa Markets dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan Malaysia dan MMC Port Holdings Berhad, serta mendapat sokongan padu daripada Malaysia Convention & Exhibition Bureau, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan semasa majlis perasmian menekankan bahawa penganjuran Seatrade Cruise Asia 2026 merupakan satu pencapaian penting dalam usaha Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai gerbang pelancongan kapal persiaran ASEAN.
Beliau turut menegaskan bahawa aspirasi Malaysia bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada persidangan antarabangsa, malah berhasrat untuk memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pelabuhan pangkalan (homeport) pilihan bagi kapal persiaran memulakan dan menamatkan perjalanan mereka.
“Melalui pengukuhan kerjasama antara kerajaan, pengendali pelabuhan, syarikat kapal persiaran dan pihak berkepentingan sektor pelancongan, kami berharap dapat membuka lebih banyak peluang ekonomi merentasi rantaian nilai pelancongan.
“Ini termasuklah dalam sektor penerbangan, hospitaliti, peruncitan dan pengangkutan, di samping memperkukuh peranan Malaysia sebagai gerbang utama kapal persiaran yang menghubungkan destinasi di seluruh ASEAN,” katanya.
Sebagai pengendali terminal kapal persiaran terbesar di Malaysia, MMC Ports memainkan peranan penting dalam menyokong pembangunan industri kapal persiaran negara menerusi tiga pintu masuk strategiknya, iaitu Terminal Kapal Persiaran Pelabuhan Klang di Selangor (Port Klang Cruise Terminal), Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier di Pulau Pinang dan Terminal Kapal Persiaran Langkawi di Kedah.
Secara keseluruhan, terminal-terminal ini mengendalikan kira-kira 600,000 penumpang kapal persiaran tahun lalu, dengan jumlah penumpang dijangka melonjak melebihi 700,000 penumpang tahun ini. – KOSMO! ONLINE














