PETALING JAYA- Kerjasama pertahanan antara negara ASEAN disifatkan penting bagi memastikan blok itu terus mempunyai keupayaan menetapkan agenda keselamatansendiri tanpa mengetepikan hubungan kerjasama dengan kuasa luar.
Penganalisis pertahanan, Shah Mohd. Akmal Abdul Halim berkata, kerjasama itu juga penting bagi memastikan kestabilan dan keselamatan serantau terpelihara khususnya ketika berdepan ancaman seperti persaingan kuasa besar, pertikaian maritim teknologi baharu.
Beliau berkata, mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM-Plus di Cebu, Filipina menjadi platform penting bagi negara anggota membincangkan cabaran keselamatan serantau secara bersama.
“Menerusi ADMM-Plus, Malaysia turut menegaskan kepentingan mengekalkan perpaduan serta peranan utama ASEAN dalam menentukan hala tuju keselamatan rantau ini.
“Meskipun bukan sebuah pakatan ketenteraan, ASEAN mempunyai mekanisme diplomasi yang membolehkan negara anggota terus berunding dan mengurus perbezaan pandangan melalui dialog,” katanya hari ini.
Katanya, antara isu yang diberi perhatian ketika ini ialah pertikaian di Laut China Selatan apabila Malaysia menggesa rundingan bagi memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) yang berkesan dan substantif dipercepatkan.
Beliau berkata, pemeteraian COC dilihat penting bagi mewujudkan peraturan serta mekanisme komunikasi yang lebih jelas, sekali gus mengurangkan risiko insiden dan salah faham antara negara terlibat.
“Kerjasama itu membuka ruang kepada negara anggota memperkukuh hubungan pertahanan, selain memastikan persaingan kuasa besar tidak menjejaskan kestabilan serantau,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerjasama pertahanan tidak seharusnya terhad kepada aspek ketenteraan semata-mata, sebaliknya perlu diperluas meliputi bantuan kemanusiaan, pengurusan bencana, keselamatan maritim serta operasi mencari dan menyelamat.
Bagi Malaysia, katanya, penyertaan aktif dalam ADMM dan ADMM-Plus merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan negara menerusi pendekatan diplomasi dan kerjasama serantau. – KOSMO! ONLINE













