PETALING JAYA – Seorang bayi berusia enam bulan parah diserang monyet ketika tidur di dalam buaian di rumah keluarganya di Paya Jaras, Sungai Buloh kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam itu, Ahmad Ayyash Adyan mengalami kecederaan pada bahagian pipi dan mulut.
Ibu saudara mangsa, Nur Ilya Natasha Mohamad Farid, 20, berkata, kejadian itu disedari ibu mangsa selepas mendengar Ayyash menangis sebelum melihat langsir terjatuh ketika wanita tersebut berada di dapur.
“Ketika mahu melihat keadaan Ayyash, dia ternampak ekor monyet di tingkap sebelum haiwan itu lari.
“Ibunya segera mendapatkan Ayyash. Ketika itu tubuh Ayyash sudah berlumuran darah dengan kecederaan teruk pada pipi dan mulut,” katanya kepada Kosmo!.
Dalam keadaan panik, wanita itu mengangkat bayinya sebelum meminta bantuan jiran membawa mereka ke hospital.
‘Ibu Ayyash menangis dan meraung melihat keadaan anaknya. Kebetulan ada rakan suaminya yang membantu menghantar dua beranak itu ke hospital dengan motosikal,” katanya.

Nur Ilya berkata, Ayyash menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dan doktor memaklumkan mengenai risiko komplikasi serius termasuk kecacatan otak, perkembangan tidak normal atau kematian akibat serangan haiwan tersebut.
“Bagaimanapun, kami amat berharap perkara itu tidak berlaku. Kami hanya mampu berdoa agar Ayyash kembali sihat,” katanya.
Cerita Nur Ilya, ketika kejadian, ibu Ayyash sedang menyediakan makanan buat seorang lagi anaknya yang berusia setahun sembilan bulan. Bapa Ayyash pula sedang bekerja.
Sebelum keluar pada pukul 7 malam, lelaki itu berpesan kepada isterinya supaya memastikan semua pintu dan tingkap ditutup. Bagaimanapun, terdapat satu tingkap tidak dapat dikunci kerana rosak.
Sementara itu, seorang remaja, Muhammad Irfan Naufal, 16, turut cedera diserang haiwan tersebut ketika berada di rumahnya di kawasan sama sehari sebelum kejadian menimpa Ayyash.
Bapa saudaranya, Lokhman Hakim Raselon, 27, berkata, kejadian berlaku pada pukul 7 pagi ketika remaja itu sedang tidur.
“Kakaknya menjerit selepas ternampak monyet di dalam rumah. Irfan mengalami luka di kaki akibat dicakar haiwan itu.
“Dalam keadaan cemas, saya meminta anak saudara mengambil kain. Darah mengalir tanpa henti menyebabkan Irfan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Kedua-dua kes serangan monyet itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kerana haiwan liar tersebut menceroboh kediaman dan menyerang penghuninya.














