BEREGU wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah kini mengalihkan tumpuan sepenuhnya kepada saingan penutup musim, Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China dari 9 hingga 13 Disember ini selepas menjuarai Terbuka Hong Kong 2026, kelmarin.
Pearly-Thinaah menampilkan persembahan cukup dominan pada kejohanan berstatus Super 500 tersebut selepas menewaskan beregu Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi menerusi kemenangan straight-set 22-20, 21-16.
Kejayaan itu melonjakkan semangat beregu ranking No. 4 dunia itu untuk melakukan persiapan dalam tempoh dua minggu sebelum bermulanya aksi berprestij berkenaan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$3.5 juta (RM14.4 juta).
“Ia sememangnya menjadi suntikan keyakinan buat kami berdua, namun kami mahu pulang dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tempoh dua minggu ini sebelum Jelajah Dunia Akhir.
“Masih banyak perkara yang perlu kami perbaiki dan usahakan. Saya boleh katakan tempoh dua minggu ini amat penting buat kami dari segi pembelajaran, saling menyokong serta mengawal emosi, namun kami amat teruja menghadapi Jelajah Dunia Akhir,” kata Thinaah.
Kejayaan di Hong Kong membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai AS$39,500 (RM162,500), selain menebus kekalahan kepada pasangan sama pada final Terbuka Taiwan sebelum ini.
Mereka turut mengulangi kejayaan merangkul gelaran di Hong Kong buat kali kedua selepas edisi 2024, sekali gus menambah koleksi kejuaraan Jelajah Dunia ketiga musim ini selepas menjuarai Indonesia Masters pada Januari dan Terbuka Denmark bulan lalu.
Sementara itu, Pearly mendedahkan perbincangan dari hati ke hati sebelum memulakan kempen di Hong Kong menjadi titik tolak perubahan mentaliti mereka ketika beraksi di gelanggang.
“Selepas tewas pada pusingan pertama minggu lalu, ia agak mengecewakan buat kami berdua kerana tidak beraksi dengan baik. Sebelum kejohanan ini, kami berbincang dari hati ke hati kerana mahu belajar cara bangkit dalam situasi sukar.
“Saya amat gembira bukan sekadar kerana kemenangan ini, tetapi kerana kami kini tahu cara mengendalikan keadaan apabila permainan tidak menjadi serta mengurus emosi dan keyakinan di gelanggang,” katanya.














