MARQUEZ mengesahkan kejuaran dunia musim ini biarpun sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan di GP Portugal kelmarin. - AFP

MotoGP: Marquez pintas Rossi, sebaris Agostini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PORTIMAO – Pelumba Ducati, Marc Marquez membuktikan keinginan besar mampu menjadikan semua halangan mudah untuk diatasi selepas menamatkan musim 2026 dengan gelaran juara dunia MotoGP.

Kejayaan di Grand Prix (GP) Portugal kelmarin bukan sekadar mengesahkan kejuaraan dunia buat kali kedua berturut-turut, malah melengkapkan kebangkitan luar biasa selepas pernah berada di kedudukan kelapan dalam carta keseluruhan pada awal musim.

Marquez menutup perebutan gelaran ketika saingan berbaki satu pusingan, sekali gus menyamai rekod lapan kejuaraan dunia kelas perdana milik legenda Itali, Giacomo Agostini, selain mengatasi pencapaian Valentino Rossi yang mengumpul tujuh gelaran.

Lebih mengagumkan, pelumba Sepanyol berusia 33 tahun itu bangkit daripada ketinggalan 102 mata, selepas berdepan kecederaan serius yang memerlukan dua pembedahan membabitkan bahu dan kaki.

Marquez mengakui musim ini memaksanya mengubah pendekatan perlumbaan, terutama apabila menyedari naluri yang selama ini menjadi senjata utama tidak lagi cukup untuk membawanya meraih kejayaan.

“Musim 2026 yang menyaksikan saya terpaksa menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan. Saya memahami pada separuh pertama musim bahawa naluri untuk melakar kemenangan tidak lagi berkesan.

“Pada satu ketika, saya sendiri merasakan semuanya sudah berakhir, tetapi orang di sekeliling saya, pasukan, keluarga dan Ducati sentiasa percaya kepada saya,” katanya.

Perjalanan Marquez untuk kembali ke puncak bukan mudah apabila selepas tujuh pusingan musim ini, beliau masih belum meraih kemenangan perlumbaan dan berdepan kebangkitan Aprilia yang menampilkan dua pencabar utama, Jorge Martin serta Marco Bezzecchi.

Bagaimanapun, Marquez akhirnya menutup perebutan gelaran di Portugal selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelapan dan kedudukan tersebut sudah cukup untuk memastikan gelaran dunia menjadi miliknya. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN