HAKIM Danish memiliki pengalaman yang baik di Portimao dan bersedia mengulangi prestasi terbaik pada GP Portugal hujung minggu ini. - FB ZK RACING

Moto3: Hakim Danish intai peluang di Portimao

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBEKALKAN keyakinan selepas menamatkan saingan GP Qatar di tempat ketujuh, pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli kini bersedia meneruskan momentum positif pada GP Portugal di Litar Antarabangsa Algarve, Portimao, hujung minggu ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu turun ke Portimao untuk mengumpul sebanyak mungkin mata bagi mengukuhkan kedudukannya dalam kelompok 10 terbaik musim ini.

Tambahan sembilan mata dari Litar Antarabangsa Lusail minggu lalu menyaksikan pelumba kelahiran Terengganu itu kini mengumpul 125 mata untuk menghuni tangga kelapan carta kejuaraan.

“Pada hujung minggu ini, saya akan beraksi di Portimao. Saya pernah berlumba di litar ini pada tahun lalu dan ada beberapa aspek daripada pengalaman tersebut yang boleh diperbaiki serta dimanfaatkan untuk perlumbaan kali ini.

“Saya sangat teruja untuk memulakan cabaran di Portimao, terutama apabila musim ini kini menghampiri dua pusingan terakhir. Saya mahu memberikan aksi terbaik dengan mengekalkan pendekatan sama seperti perlumbaan sebelum ini.

“Fokus saya adalah untuk mendapatkan permulaan terbaik sejak sesi latihan bebas pertama (FP1) dan terus memberikan saingan dalam setiap sesi,” katanya.

Sebagai rekod, Hakim Danish pernah meraih podium tempat ketiga dalam saingan Red Bull MotoGP Rookies Cup pada 2023 di Portimao, selain mengutip mata sulungnya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 selepas menamatkan GP Portugal musim lalu di kedudukan ke-12.

Pengalaman beraksi di litar tersebut menerusi dua kejohanan berbeza pastinya memberi kelebihan kepada Hakim Danish untuk memahami karakter trek berkenaan, selain mengenal pasti aspek tunggangan yang perlu diperbaiki terutama pada sesi kelayakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN