MELAHIRKAN seorang pelumba bertaraf dunia menuntut masa dan pelaburan jutaan ringgit.
Kejayaan Hakim Danish Ramli membuktikan program acuan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama ZK Racing berada di landasan tepat, namun cabaran sebenar adalah memastikan legasi itu berterusan.
Kejayaan sensasi anak muda kelahiran Terengganu itu menjuarai Grand Prix (GP)Republik Czech di Litar Brno dalam saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bukan sekadar menamatkan kemarau kemenangan Malaysia sejak 2016, malah membuktikan keberkesanan ekosistem pembangunan bakat yang dirangka secara berterusan.
Impak kemenangan bersejarah itu diterjemahkan secara langsung menerusi kebangkitan sokongan peminat tanah air apabila ribuan penyokong membanjiri Litar Antarabangsa Petronas Sepang baru-baru ini sehingga tiket di Tribune Khas Hakim Danish turut habis dijual.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif mengakui kehadiran pelumba tempatan memastikan Grand Prix Malaysia lebih bermakna terutama kehadiran pengunjung ke litar kebangsaan itu meningkat kepada 196,542.
Namun, di sebalik keterujaan itu, Shafriman secara terbuka mengenai model penajaan jangka panjang terutama lebih banyak syarikat swasta di luar sana bersama mereka agar program ‘Road to MotoGP’ tidak bergantung semata-mata kepada dana kerajaan.
“Laluan ke Moto3, Moto2 dan MotoGP perlu bermula di peringkat akar umbi seperti Motomini. Program ini masih memerlukan sokongan SIC dan kerajaan, tetapi kita perlukan lebih ramai syarikat korporat lain tampil membantu agar lebih ramai Hakim Danish mampu dilahirkan,” katanya.
Pandangan tersebut selari dengan komitmen bekas pelumba Moto3 negara, Zulfahmi Khairuddin yang mengemudi program MiniGP Malaysia sejak tujuh tahun lalu sebelum dijenamakan semula sebagai Motomini Malaysia di bawah kendalian ZK Racing.
Bagi Zulfahmi, kemenangan bersejarah Hakim Danish bersama pasukan MT Helmets-MSi bukanlah tuah yang datang bergolek, sebaliknya hasil perancangan teliti melalui setiap fasa daripada Motomini ke Asia Talent Cup (ATC), FIM JuniorGP dan Red Bull MotoGP Rookies Cup sebelum menembusi pentas dunia.
“Kejayaan Hakim Danish bukan sekadar nasib kerana dia berlumba dalam situasi yang sama seperti pelumba lain. Malah, kita turut memiliki pelapis berpotensi dalam Moto4 Asia Cup seperti Qabil Irfan Azlan, Muhammad Qayyim Razin dan Muhammad Naqib.
“Selepas tujuh tahun, akhirnya kita dapat melihat hasilnya apabila Hakim Danish muncul pemenang Grand Prix. Kejayaannya kini menjadi inspirasi kepada pelumba cilik Motomini Malaysia, dan saya berharap ia membuka mata lebih banyak syarikat untuk beri sokongan,” kata Zulfahmi.
Zulfahmi turut menegaskan bahawa suntikan penajaan korporat yang ditekankan SIC amat mustahak bagi memastikan pelumba cilik tempatan mempunyai dana mencukupi untuk bersaing setara dengan pasukan gergasi Eropah.
Bagi penulis, mesej kemenangan di Brno dan gelombang sokongan di Sepang cukup jelas bahawa gabungan visi pengurusan SIC serta kepakaran teknikal ZK Racing telah menghasilkan formula ‘Kelas A’ yang terbukti berjaya.
Kini, tanggungjawab terbesar terpikul di bahu pemegang taruh dan sektor korporat untuk memastikan ‘kilang bakat’ ini terus bernafas dengan dana yang mencukupi agar Malaysia terus menempah nama di pentas antarabangsa.
















