HAKIM Danish terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan GP Qatar di kedudukan ketujuh selepas tersasar pada selekoh terakhir. - FB ZK RACING

Moto3: Hakim Danish masih puas hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN gagal mengekalkan momentum untuk menembusi kelompok empat terbaik pada penghujung perlumbaan, pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tetap berpuas hati apabila menamatkan Grand Prix (GP) Qatar di kedudukan ketujuh di Litar Antarabangsa Lusail, kelmarin.

Kutipan sembilan mata yang diraih pelumba pasukan MT Helmets-MSi itu membolehkannya terus mengukuhkan kedudukan dalam kelompok lapan pelumba terbaik keseluruhan kejuaraan dunia dengan mengumpul 125 mata.

Memulakan perlumbaan dari petak ketujuh, pelumba berusia 19 tahun kelahiran Terengganu itu bagaimanapun berdepan kesukaran pada peringkat awal selepas melakukan pelepasan kurang sempurna sehingga jatuh di kedudukan 13.

Namun, Danish tidak mudah mengalah apabila secara berperingkat meningkatkan rentak tunggangan sebelum mula merapatkan jurang dengan kelompok pelumba di hadapan dalam perlumbaan 16 pusingan itu.

Bagaimanapun, persaingan sengit pada pusingan terakhir, khususnya di selekoh akhir, menyaksikan Danish sedikit tersasar daripada garisan perlumbaan sebelum terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat ketujuh.

“Hari ini saya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh. Saya memulakan perlumbaan agak perlahan sehingga kehilangan beberapa kedudukan pada fasa awal.

“Selepas itu, saya cuba bangkit dan memperbaiki kedudukan dengan meningkatkan kelajuan. Walaupun wujud jurang dengan kelompok hadapan, saya terus berusaha mengejar mereka pusingan demi pusingan sambil mengekalkan fokus serta rentak tunggangan sebelum berjaya merapatkan jurang dengan kumpulan kedua.

“Pada pusingan terakhir, saya cuba bersaing dengan Carpe, namun motosikal sedikit tersasar daripada racing line. Apa pun, saya akan terus bekerja keras sebagai persiapan menghadapi perlumbaan seterusnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN