Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninjau kawasan perumahan yang dilanda banjir di Taman Uda Murni, Tok Jembal, Kuala Nerus malam tadi.

Air naik mendadak, penduduk tidak sempat selamatkan barangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Beberapa penduduk di Taman Uda Murni, Tok Jembal di sini, tidak sempat membuat persiapan menghadapi banjir apabila kediaman mereka dinaiki air secara mendadak susulan hujan lebat sejak petang semalam.

Situasi itu memaksa penduduk bergegas menyelamatkan barangan berharga sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tok Jembal.

Seorang mangsa banjir, Rokiah Salae, 37, berkata, dia tidak menyangka air naik begitu pantas sehingga mencecah paras lutut di dalam rumahnya.

Katanya, keselamatan empat anaknya menjadi keutamaan terutama anak istimewanya, Helmi Al Faqih Helmi Saifudin, 5, yang menghidap sindrom Goldenhar.

“Air naik dengan cepat petang semalam sehingga masuk ke dalam rumah. Saya memang sudah bersiap-siap mengemas barang sejak semalam kerana bimbang banjir,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa, Zabedah Umar, 72, berkata, kejadian banjir bukan lagi sesuatu yang asing baginya sejak menetap di kawasan tersebut pada 1975.

Menurutnya, kawasan kediamannya dilanda banjir sebanyak dua kali tahun lalu, namun kali ini air naik agak pantas sehingga memasuki rumahnya sekitar pukul 5 petang dengan paras buku lali.

“Kalau hujan lebat, air cepat naik kerana longkang di kawasan ini rendah dan tidak mampu menampung jumlah air yang banyak. Kadang-kadang hujan sekejap, air sudah masuk dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, setakat pukul 9 pagi hari ini, data InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan seramai 127 mangsa daripada 40 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN