POLIS Nasional Indonesia mengumumkan operasi antidadah besar-bersaran dan mempamerkan lima suspek semasa sidang akhbar di ibu pejabat polis di Jakarta semalam. – AGENSIS

Polis Indonesia rampas dadah RM245 juta, siasat sindiket dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Polis Indonesia mengumumkan rampasan 378 kilogram syabu, lebih 200,000 biji pil ekstasi dan beribu-ribu kartrij mengandungi etomidate dalam satu operasi besar-besaran membanteras narkotik di wilayah Riau, lapor laman berita Jakarta Globe.

Pihak berkuasa turut menahan lima suspek disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian penyeludupan dadah beroperasi dari Malaysia.

Pengarah Jenayah Narkotik Polis Nasional Indonesia, Brigedier Jeneral (polis) Kristian Parluhutan Siagian berkata, dadah dirampas yang dipercayai untuk edaran di seluruh Pulau Sumatera menjelang musim cuti akhir tahun itu dianggarkan bernilai 1 trilion rupiah (RM245 juta).

Selain syabu, polis turut merampas 200,252 biji pil ekstasi dan 11,752 kartrij berisi cecair  etomidate, bahan yang digunakan dalam perubatan sebagai ubat bius  tetapi turut dikaitkan dengan penggunaan dadah haram.

“Kerajaan boleh menjimatkan kos pemulihan penagih sebanyak 2.15 trilion rupiah (RM526 juta) dengan menghalang dadah ini sampai kepada orang ramai,” kata Kristian pada sidang akhbar di Jakarta semalam.

Menurutnya, siasatan bermula awal bulan ini menerusi pertukaran maklumat risikan dan penyelarasan usaha antara pihak berkuasa Indonesia serta Malaysia untuk mengenal pasti dan  memetakan rangkaian penyeludupan tersebut.

Pasukan penyiasat menumpukan siasatan di Riau, wilayah bersempadan dengan Selat Melaka, sebelum melancarkan operasi besar-besaran pada 13 November lalu  yang membawa kepada tangkapan tersebut.

“Dadah ini untuk edaran di Sumatera bagi kegunaan semasa musim cuti akhir tahun tetapi kami berjaya menyekatnya,” kata Kristian.

Menurut polis, semua lima suspek bertindak sebagai kurier dan bertanggungjawab membungkus dadah untuk edaran. Pihak berkuasa mendedahkan identiti mereka melalui singkatan  nama sahaja.

Suspek keenam  yang dipercayai dalang utama operasi penyeludupan itu bagaimanapun  masih bebas.

Kelima-lima suspek berdepan pertuduhan di bawah Undang-Undang No. 35 Tahun 2009 mengenai Narkotik dan peruntukan Kanun Keseksaan. Polis berkata, mereka boleh dijatuhi hukuman mati jika didapati bersalah. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN