Mohd. Azam bercakap ketika sesi Taklimat KPM Bersama Media di Sepang hari ini.

Kanak-kanak tiga tahun bakal ke tadika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti cadangan bagi membolehkan kanak-kanak berusia tiga tahun (Kohort 3+) memasuki tadika pada usia itu bagi memperluas akses pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, susulan itu, KPM sedang menyelaraskan peruntukan undang-undang bersama beberapa kementerian lain bagi membolehkan kanak-kanak berusia tiga tahun memasuki tadika.

Katanya, penyelarasan itu penting berikutan aspek penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak melibatkan bidang kuasa beberapa kementerian serta agensi kerajaan.

“Terdapat juga peruntukan di bawah KPM dan agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat yang perlu diselaraskan sebelum pelaksanaan itu,” katanya pada sesi Taklimat KPM Bersama Media di sini, hari ini.

Mohd. Azam berkata, selepas proses penyelarasan selesai dan semua pihak bersedia, KPM akan membawa kertas cadangan berkenaan ke peringkat Kabinet untuk pertimbangan lanjut.

“Proses itu juga berkemungkinan memerlukan pindaan undang-undang sebelum cadangan berkenaan dapat dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini katanya, KPM turut mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pengusaha tadika swasta bagi menjelaskan implikasi perubahan kohort berikutan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun (kohort 5+) ke tahun satu.

“Di pihak swasta, kita telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan tadika-tadika dan mereka faham bahawa apabila kohort 5+ masuk ke tahun satu, mereka masih mempunyai kohort 4+.

“Namun, di peringkat KPM, kita juga sedang berusaha untuk membolehkan kohort 3+ diambil di peringkat tadika dan kita akan mengangkat kertas cadangan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN