PASIR GUDANG – Pesanan isteri supaya suaminya menjaga anak-anak dengan baik yang disangka gurauan bertukar kenyataan apabila wanita itu maut bersama anak dan cucu dalam nahas Nissan Serena terbabas di Kilometer (KM) 159.6, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan kelmarin.
Nadsmi Idris, 45, berkata, dalam kemalangan itu menyebabkan isterinya Sitti Aishah Ismail, 49, bersama anaknya, Attaulah Aidan, 14, dan cucunya Fateh Athar Abdul Fattah Dayyan, 2, maut di lokasi kejadian.
Bapa kepada empat anak itu berkata, arwah isterinya yang tidak pernah berpesan sedemikian sebelum ini berbuat demikian ketika makan tengah hari beberapa jam sebelum nahas berlaku.
“Dia cakap, kalau dia sudah tiada, abang jaga anak kita baik-baik. Saya tanya, kenapa awak cakap begitu, jangan cakap macam itu, tak baik. Apabila fikir semula, saya tertanya-tanya kenapa dia berkata begitu, seolah-olah memberi petanda akan sesuatu yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Taman Layangkasa, Pasir Gudang di sini semalam.
Nadsmi berkata, tragedi itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak keduanya mendaftar di Universiti Islam Melaka.
Bercerita lanjut Nadsmi berkata, ketika kemalangan berlaku dia memandu dengan kelajuan sekitar 110 kilometer sejam sebelum sebuah kenderaan lain tiba-tiba laju sehingga membuatkannya terkejut dan hilang kawalan.
“Kereta saya terbabas masuk ke kawasan berumput sebelum terlanggar pembahagi jalan dengan kuat hingga naik ke atas pembahagi. Saya yang masih sedar berusaha membantu mengeluarkan ahli keluarga termasuk arwah isteri dan cucu namun tidak mampu menarik anak bongsu yang tersepit di tempat duduk belakang,” katanya.
Tambahnya, jenazah isteri, anak dan cucunya selamat dikebumikan dalam dua liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah Pasir Gudang pagi semalam. – KOSMO! ONLINE














