JAKARTA – Seorang wanita di Lubuklinggau, wilayah Sumatera Selatan ditahan polis selepas menikam suaminya sehingga sehingga kritikal, dipercayai akibat berang kerana dia berulang kali dikejutkan ketika sedang tidur, lapor saluran berita Lambe Turah.
Suspek yang dikenali sebagai HP, 24, ditahan di kediamannya selepas keluarga mangsa, ES, 44, membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Kejadian dilaporkan berlaku petang Ahad lalu di rumah suspek.
Sebelum kejadian, suspek dikatakan sedang tidur lena akibat keletihan selepas menghadiri sebuah majlis keraian di kampungnya.
Insiden bermula apabila mangsa yang berkahwin secara rahsia dengan suspek, tiba di rumah tersebut dan mengejutkan HP yang sedang berehat di dalam bilik.
Suspek yang masih dalam keadaan terlalu mengantuk mula naik berang, namun kembali menyambung tidurnya.
Bagaimanapun, mangsa bertindak mengejutkan suspek sekali lagi sehingga menyebabkan wanita itu gagal mengawal kemarahannya.
Dalam keadaan dikuasai emosi, suspek menuju ke dapur lalu mengambil sebilah pisau sebelum menikam dada kiri mangsa, menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah.
Penduduk setempat yang menyedari insiden itu segera membawa mangsa ke Hospital Siti Aisyah Lubuklinggau bagi mendapatkan rawatan kecemasan, dan mangsa kini dilaporkan kritikal.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Lubuklinggau, AKP M Kurniawan Azwar berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut kerana terlalu geram dikejutkan daripada tidur, selain mendakwa tindakan itu didorong oleh emosi seketika tanpa niat untuk mencederakan mangsa.
“Puncanya kerana suspek geram dikejutkan, walaupun dia sebenarnya sudah tidur sejak malam hingga ke petang hari kejadian,” katanya.
Polis turut merampas sebilah pisau dan pakaian mangsa semasa kejadian sebagai bahan bukti. – AGENSI














