KUALA LUMPUR – Budaya membaca secara mendalam (deep reading) perlu diperkukuh bagi mengelakkan generasi muda menjadi kelompok yang hanya menatal maklumat tanpa memahami, menilai dan berfikir secara kritis.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kecenderungan membaca secara tergesa-gesa (hasty readers) dan budaya menatal kandungan tanpa memberikan tumpuan (scrolling generation) merupakan antara perkara yang perlu diberikan perhatian serius.
Menurut beliau, keadaan itu dibimbangi menjejaskan keupayaan generasi muda untuk memberikan tumpuan, membuat penaakulan dan memahami sesuatu perkara secara mendalam.
Katanya, kematian budaya membaca boleh menyebabkan masyarakat kehilangan rantaian ilmu yang menghubungkan generasi menerusi tradisi membaca, menulis dan mewariskan pemikiran.
“Apabila buku itu mati, budaya membaca itu mati, ia akan memberikan kesan langsung kepada sebuah generasi dan pastinya kita akan kehilangan rantaian ilmu yang menghubungkan generasi melalui tradisi membaca, menulis dan mewariskan pemikiran,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Dasar Perbukuan Negara, di sini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, usaha memperkukuh budaya membaca memerlukan ekosistem perbukuan yang kukuh, tersusun dan mempunyai hala tuju jangka panjang.
Jelasnya, pembangunan industri perbukuan perlu melibatkan keseluruhan rantaian industri termasuk penulis, editor, penterjemah, ilustrator, penerbit, pencetak, pengedar serta penjual buku bagi memastikan karya sampai kepada pembaca.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kebajikan penggiat industri perbukuan perlu diberikan perhatian termasuk pendapatan penulis, ganjaran setimpal kepada penterjemah serta peluang kepada penerbit kecil untuk terus berkembang.
“Industri yang kukuh mesti memberikan ruang kepada pengkarya untuk hidup dengan hasil intelektual mereka. Jadi, kita perlu memperkukuh perlindungan hak cipta, memastikan royalti yang sewajarnya dan membina persekitaran yang membolehkan penulis, penterjemah serta penerbit kecil berkembang secara mampan,” katanya.
Tambah beliau, kejayaan industri perbukuan tidak seharusnya diukur berdasarkan angka jualan, jumlah penerbitan atau saiz pasaran semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan individu yang menggerakkan industri berkenaan.
Fadhlina turut menekankan kepentingan membawa karya tempatan ke peringkat antarabangsa melalui usaha penterjemahan dan kerjasama hak cipta dengan penerbit luar negara.
Katanya, Malaysia mempunyai kekayaan bahasa, sejarah dan budaya yang berpotensi diketengahkan sebagai sebahagian daripada wacana ilmu antarabangsa menerusi lebih banyak karya tempatan yang diterjemahkan ke bahasa asing.
Beliau turut menyifatkan Perancis sebagai antara negara yang boleh dijadikan contoh dalam usaha memelihara budaya, bahasa dan pembangunan industri penerbitan buku.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, usaha membudayakan membaca tidak seharusnya hanya bergantung kepada penganjuran pesta buku, sebaliknya perlu digerakkan melalui pelbagai inisiatif secara berterusan.
Beliau turut memuji inisiatif Kelab Perempuan Membaca yang disifatkan sebagai usaha positif dalam menggerakkan masyarakat menjadikan amalan membaca sebahagian daripada kehidupan.
Katanya, Malaysia tidak pernah kekurangan akses kepada bahan bacaan, namun cabaran utama ketika ini adalah menggalakkan masyarakat membaca dengan lebih bersungguh-sungguh dan mendalam.
“Kita mahu deep reading, bukan sekadar hasty reading tetapi deep reading dengan proses penaakulannya dan juga bagaimana kita melihat membaca ini betul-betul dengan kekuatan secara peribadi, generasi dan seluruh masyarakat,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, Fadhlina berkata, kejayaan Dasar Perbukuan Negara perlu diterjemahkan melalui perubahan kepada masyarakat bagi melahirkan generasi yang bukan sekadar cekap mendapatkan maklumat, malah berupaya memahami, menilai dan berfikir serta teguh dengan nilai dan jati diri. – KOSMO! ONLINE














