BUKAN semua remaja sanggup mengorbankan masa bersama rakan sebaya demi mengejar impian dalam bidang sukan.
Ketika kebanyakan anak muda seusianya mempunyai lebih banyak ruang untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti sendiri, penerjun negara, Nurqayyum Nazmi
Mohamad Nazim memilih kehidupan yang berbeza apabila sebahagian besar waktunya dihabiskan di kolam renang untuk menjalani latihan terjun.
Bermula sebagai seorang kanak-kanak yang sekadar mencuba sukan atas galakan ibunya, siapa sangka langkah kecil itu akhirnya membawa Nurqayyum ke pentas pertandingan antarabangsa, sekali gus meletakkan namanya dalam kalangan atlet terjun muda yang wajar diberikan perhatian.
Anak muda ini pernah melakar sejarah hebat menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia menaiki podium pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia selepas merangkul gangsa 3 meter papan anjal (16 hingga 18 tahun) di Brazil pada 2024 lalu.
Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, perjalanan dalam sukan terjun bukan sekadar tentang keberanian melakukan aksi akrobatik sebelum memasuki permukaan air, sebaliknya menuntut disiplin, ketahanan fizikal dan kekuatan mental yang tinggi.
Lebih penting, dia perlu bijak mengimbangi tanggungjawab sebagai atlet dengan kehidupan sebagai seorang pelajar.
“Saya mula mengenali sukan akuatik ketika berusia empat tahun menerusi aktiviti renang, kemudian beralih kepada sukan terjun pada usia enam tahun.
“Minat itu bermula apabila ibu saya memperkenalkan sukan berkenaan sebagai satu pengalaman baharu untuk dicuba,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.
Pada awalnya, dia sendiri tiada pengetahuan mendalam mengenai sukan tersebut. Namun, selepas mencuba dan mula menikmati pengalaman berlatih, Nurqayyum semakin tertarik untuk mendalaminya sehingga terpilih menyertai program junior Persatuan Renang Amatur Kuala Lumpur (PKRL).
Menariknya, penglibatan Nurqayyum, 20, dalam sukan bukan sesuatu yang asing dalam keluarganya. Dia merupakan anak keempat daripada lima beradik dan hampir kesemua adik-beradiknya berpengalaman dalam bidang sukan masing-masing.
Abang sulungnya pernah aktif bola sepak dan ragbi, manakala kakaknya pula pernah jadi perenang dan sertai triatlon. Seorang lagi abangnya pernah ceburi golf, sementara adik bongsunya kini aktif boling.
Walaupun ibu bapanya bukan atlet, minat terhadap sukan yang diterap dalam keluarga menjadi antara faktor mendorong anak-anak meneroka bidang tersebut.
Pun begitu, perjalanan awal Nurqayyum bukanlah sentiasa mudah. Antara cabaran yang perlu dihadapinya pada usia kecil ialah perbezaan bahasa apabila jurulatihnya berasal dari China dan menggunakan bahasa Mandarin ketika berkomunikasi.
Kongsi Nurqayyum lagi, situasi itu pada mulanya menyukarkan proses memahami arahan latihan, namun dia perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan bantuan rakan sepasukan dan jurulatih yang turut mengajarnya beberapa perkataan Mandarin.
Walaupun tidak fasih, pengalaman itu mengajarnya supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan perkara baharu.
“Minat yang semakin mendalam terhadap sukan terjun turut membuahkan hasil apabila saya mula menunjukkan potensi dalam pertandingan seawal usia tujuh tahun.
“Penyertaan pertama saya dalam dua acara kategori novice berjaya menghasilkan dua pingat perak, sekali gus menjadi permulaan positif kepada perjalanan sukan saya,” ujarnya.
Kata Nurqayyum, pencapaian yang lebih besar hadir pada 2024 apabila dia mencipta sejarah di Kejohanan Terjun Remaja Dunia di Rio de Janeiro, Brazil.
Nurqayyum meraih pingat gangsa dalam acara 3 meter papan anjal lelaki kategori 16 hingga 18 tahun selepas mengumpul 506.75 mata.
Kejayaan itu cukup bermakna kerana menamatkan penantian 18 tahun Malaysia untuk meraih pingat dalam kejohanan berkenaan.
Kali terakhir Malaysia menaiki podium pada kejohanan tersebut ialah menerusi Bryan Nickson Lomas yang memenangi gangsa pada edisi 2006.
Lebih membanggakan, Nurqayyum berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua pada pusingan kelayakan sebelum mengakhiri saingan akhir di tempat ketiga.

Pencapaian itu bukan sahaja membuktikan keupayaannya bersaing dengan penerjun dari negara lain, malah menjadi petunjuk bahawa Malaysia mempunyai pelapis berpotensi dalam acara terjun lelaki.
Nama Nurqayyum terus mencuri perhatian apabila mula diberikan tanggungjawab lebih besar untuk membawa cabaran negara dalam pertandingan antarabangsa.
Pada Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura, dia disenaraikan sebagai antara penerjun lelaki negara yang memenuhi skor kelayakan minimum untuk menyertai kejohanan berprestij itu.
“Pengalaman tersebut menjadi sebahagian daripada persediaan saya untuk menghadapi pertandingan lebih besar, khususnya Sukan SEA Thailand 2025.
“Saya bergandingan dengan Yong Rui Jie dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dan akhirnya berjaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia,” tambahnya.
Pasangan itu mengumpul 359.85 mata selepas enam terjunan untuk mengatasi wakil tuan rumah Thailand yang meraih 335.70 mata, manakala Vietnam berada di tempat ketiga dengan 322.35 mata.
Kejayaan tersebut lebih istimewa kerana kedua-dua mereka merupakan penampilan sulung di temasya sukan dwitahunan berkenaan.
Kemenangan itu juga memperlihatkan perkembangan positif gandingan Nurqayyum dan Rui Jie yang sudah lama menjalani latihan serta pertandingan bersama.
Keserasian antara mereka menjadi kelebihan penting dalam acara seirama yang bukan sahaja memerlukan kemahiran individu, malah menuntut ketepatan masa, koordinasi pergerakan dan kawalan teknik ketika melakukan terjunan.
Momentum tersebut diteruskan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Tokyo apabila pasangan berkenaan sekali lagi membuktikan kemampuan mereka di pentas lebih besar.
Dalam penampilan sulung di temasya itu, Nurqayyum dan Rui Jie meraih pingat gangsa acara 3 meter papan anjal seirama lelaki selepas mengumpul 345.81 mata.
Lebih menarik, kejayaan tersebut hadir selepas mereka bangkit daripada kedudukan ketujuh dengan dua terjunan terakhir yang cemerlang.
Mereka berjaya memintas pasangan Korea Selatan yang pada awalnya di kedudukan untuk meraih pingat gangsa.
Pingat emas menjadi milik China dengan 465.87 mata, manakala Jepun meraih perak selepas mengumpul 355.56 mata.
Kejayaan gangsa itu turut menjadi pingat pertama Malaysia dalam acara terjun pada temasya berkenaan.
Rentetan pencapaian itu memperlihatkan bagaimana penerjun yang bermula dengan dua pingat perak dalam pertandingan novice ketika berusia tujuh tahun kini mampu berdiri sebaris dengan atlet antarabangsa.
Malah, profil rasminya di World Aquatics turut merekodkan beberapa keputusan terbaik termasuk catatan 506.75 mata dalam acara 3 meter papan anjal pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia 2024 itu.
Bagaimanapun, perjalanan Nurqayyum pada tahun ini tidak terhenti pada kejayaan di Sukan Asia. Dalam Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia Keempat 2026, dia dan Rui Jie menamatkan saingan di tempat keempat acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dengan 349.20 mata.
Walaupun tidak berjaya menaiki podium, Nurqayyum mengakui perbezaan tahap kesukaran terjunan menjadi antara faktor yang mempengaruhi keputusan.
Baginya, prestasi konsisten sahaja belum mencukupi sekiranya mahu bersaing dengan pasangan terbaik dunia yang mampu melakukan terjunan dengan tahap kesukaran lebih tinggi.
Di sebalik kejayaan tersebut, Nurqayyum mengakui pengorbanan terbesar sepanjang bergelar atlet ialah masa. Jadual latihan yang padat menyebabkan dia perlu menguruskan kehidupan seharian dengan lebih teratur, terutama apabila perlu membahagikan perhatian antara sukan dan pelajaran.
Ketika ini, dia sedang mengikuti pengajian Asasi Teknologi Maklumat di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) sebelum menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Menurutnya, latihan lazimnya berlangsung dua sesi sehari, bergantung kepada jadual kelas dan komitmen akademik.
Sekiranya mempunyai tugasan atau peperiksaan, dia perlu menyusun semula masa supaya kedua-dua tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik.
“Saya anggap kedua-duanya sebagai tanggungjawab penting. Jadi, saya tidak boleh mengabaikan salah satu daripadanya.
“Ada masanya saya perlu menguruskan masa sendiri, terutama apabila latihan berlangsung pada waktu pagi dan petang, sementara tugasan akademik juga perlu diselesaikan,” kongsinya.
Selain kecergasan fizikal, aspek mental turut diberikan perhatian.
Nurqayyum mengakui adakalanya tekanan untuk mencapai sesuatu sasaran boleh mengganggu fikirannya, namun dia cuba mengatasi dengan melakukan aktiviti yang dapat merehatkan minda, berfikiran positif dan mengelakkan sikap terlalu memikirkan kemungkinan buruk.
Dalam masa sama, dia menitikberatkan aspek pemulihan badan bagi mengurangkan risiko kecederaan selain memastikan disiplin latihan sentiasa berada pada tahap terbaik.
Sokongan keluarga juga menjadi antara kekuatan utama yang membolehkannya terus bertahan dalam sukan tersebut.
Dalam soal motivasi, Nurqayyum menjadikan penerjun Mexico, Osmar Olvera, sebagai antara atlet antarabangsa yang dikaguminya, manakala peringkat tempatan pula, dia mengagumi penerjun negara, Ooi Tze Liang.
Keupayaan kedua-dua penerjun ini membuatkan dia melihat atlet berkenaan sebagai sumber inspirasi untuk terus meningkatkan kemampuan diri.
Melihat kepada perjalanan yang masih panjang, Nurqayyum tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian yang sudah diraih.
Sebaliknya, pingat yang dimenangi menjadi dorongan untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan tahap kesukaran terjunan agar mampu memberikan saingan lebih sengit di peringkat antarabangsa.
Impian terbesarnya ketika ini adalah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan kariernya sebagai penerjun negara.
Dia sedar sasaran tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan persiapan rapi, pengorbanan dan konsistensi dalam setiap sesi latihan.
Dia turut menasihatkan golongan muda yang berminat menceburi bidang sukan supaya bijak menguruskan masa dan tidak mengetepikan pendidikan kerana kedua-dua mereka boleh menjadi asas penting untuk masa depan.
“Selain itu, dapatkan restu ibu bapa sebelum memulakan sesuatu dan sentiasa menghormati jurulatih, guru serta keluarga,” katanya.














