LAS VEGAS – Prinsipal Ferrari, Fred Vasseur mengakui hubungan antara dua pemandunya, Lewis Hamilton dan Charles Leclerc sudah sukar dikawal dan kedua-duanya tidak lagi mempunyai persefahaman yang baik selepas perlumbaan dramatik di Las Vegas.
Kedua-dua pemandu Ferrari itu bertembung sesama sendiri ketika perlumbaan di Las Vegas sehingga steward perlumbaan mendapati Leclerc bersalah dan dikenakan penalti 10 saat dan hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, tiga kedudukan di belakang Hamilton.
“Tekanan sememangnya semakin meningkat dan keadaan sekarang jauh lebih buruk berbanding 18 bulan lalu. Sejak kebelakangan ini, situasi antara mereka berdua sudah menjadi sukar untuk dikawal. Akhirnya, ini berpunca daripada salah faham sesama manusia.
“Kami meminta Charles supaya memikirkan kepentingan pasukan ketika dia berada di belakang Lewis, tetapi dia tidak mendengar arahan tersebut. Itu merupakan satu kesilapan profesional.
“Dia seolah-olah terlupa bahawa terdapat 2,000 orang yang bekerja siang dan malam untuk dirinya. Perkara itu langsung tidak boleh diterima. Saya ulang sekali lagi, tindakan tersebut sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Selepas Grand Prix Mexico City, ketika Hamilton dan Leclerc turut bersaing sengit antara satu sama lain, Vasseur pernah memanggil kedua-dua pemandu itu untuk berbincang dan menjelaskan pendirian pasukan.
Ketika itu, kedua-duanya bersetuju bahawa segala perselisihan telah diselesaikan dan hubungan mereka kembali baik, namun, kerjasama mesra seperti itu tidak dapat dilihat di Las Vegas.
Selepas beberapa insiden ketika berlumba bersama Leclerc di Monza, Mexico City dan kini Las Vegas, Hamilton semakin menunjukkan rasa kecewa kerana segala usahanya dilihat tidak membawa sebarang perubahan.
“Saya sudah melakukan segala yang termampu. Saya sudah memberitahu semuanya, malah lebih daripada itu
“Situasi ini memang sukar. Apa yang boleh saya lakukan hanyalah hadir ke perlumbaan dan memberikan segala yang saya mampu. Saya berharap pihak pengurusan dapat menyelesaikan semuanya di belakang tabir,” jelas Hamilton. – AGENSI














