BRUGES – Liverpool tidak boleh mengambil mudah cabaran Club Brugge apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi kelima Liga Juara-Juara, awal pagi esok.
Ketika ini, kedua-dua pasukan berkongsi sembilan mata dan saling mengharapkan kemenangan bagi mengukuhkan harapan untuk cuba mendapatkan tempat ke pusingan seterusnya.
Tiada kelebihan ketara yang ada pada The Reds, namun prestasi semasa termasuk ketika menewaskan Manchester United 4-0 pastinya mahu diteruskan pada saingan di pentas Eropah.
“Saya berasa sangat baik, tetapi saya fikir, kualiti yang kami jelmakan kali ini juga disebabkan kerja keras yang kami lakukan untuk pastikan prestasi pasukan dapat terus ditingkatkan.
“Apabila dapat menjadi sebahagian daripada perkembangan ini, anda juga akan turut meningkat. Saya hanya menikmatinya,” kata tonggak tengah The Reds, Florian Wirtz.
Ketika menang ke atas Manchester United, Wirtz tampil sebagai watak penting dengan menyumbangkan jaringan dan bantuan gol, sekali gus menghadirkan keterujaan buat pengendali pasukan, Andoni Iraola.
“Dia mungkin tidak mampu untuk menghasilkan bantuan jaringan namun dia akan tetap menyumbangkan sesuatu buat pasukan. Ketika melakukan serangan di ruang sempit, pemain seperti inilah yang paling tepat untuk melakukannya,” kata Iraola.
Dalam pada itu, Liverpool kehilangan lima pemain menjelang pertemuan menentang Brugge apabila Cody Gakpo, Ryan Gravenberch, Conor Bradley, Giovanni Leoni dan Hugo Ekitike masih belum pulih atau tidak cergas sepenuhnya untuk diturunkan. – AGENSI














