PETALING JAYA – Beberapa laluan di sekitar Kota Warisan, Sepang dilaporkan dinaiki air sejak awal pagi tadi sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas teruk ketika orang ramai dalam perjalanan ke tempat kerja.
Menerusi beberapa perkongsian pengguna di aplikasi Threads, kejadian banjir itu dilaporkan berlaku seawal pukul 6 pagi.
Rakaman yang dikongsikan turut memaparkan beberapa buah kenderaan berada di atas laluan yang ditenggelami air berwarna keruh.
Seorang pengguna, @mimiza.cumilz berkata, suaminya yang keluar bekerja pada pukul 6 pagi mendapati beberapa laluan di kawasan berkenaan sudah dinaiki air.
“Kawasan banjir yang ada anjing itu di hadapan kilang Ayamas dan jalan di situ ditutup.
“Lagi satu banjir dekat lampu isyarat untuk membuat pusingan U, menghala ke KLIA dan Bandar Baru Salak Tinggi, Nilai. Ingatkan masalah banjir sudah selesai selepas jalan di hadapan itu ditinggikan,” katanya.
Seorang lagi penduduk Kota Warisan, pengguna @mmatrazi turut memuat naik rakaman keadaan jalan raya yang memperlihatkan limpahan air berwarna keruh di laluan bertentangan ketika melalui kawasan berkenaan awal pagi tadi.
“Dari Taman Semarak Warisan pagi ini menghala ke Jalan Gemilang 1, Kota Warisan, Sepang,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, @afftn_ turut memaklumkan kejadian banjir di sekitar jejambat Kota Warisan selain menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan masing-masing.
Perkongsian gambar oleh pengguna, @admsyhir pula memperlihatkan deretan panjang kenderaan yang memenuhi beberapa lorong jalan raya susulan kesesakan di kawasan tersebut.
“Kota Warisan ada masalah ke pagi ini? Tidak pernah sesak teruk macam ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














