PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terlepas peluang meraih mata biarpun memulakan perlumbaan dari petak ke-12 apabila sekadar menamatkan Grand Prix (GP) Portugal di kedudukan ke-16 susulan keadaan litar mencabar, semalam.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mengakui keadaan litar basah dan kering di Litar Portimao menjejaskan keyakinannya sejak awal perlumbaan, sekali gus menyebabkannya kehilangan beberapa kedudukan.
“Saya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 dan sejujurnya saya kurang berpuas hati dengan keputusan ini.
“Keadaan litar agak mencabar kerana sebahagiannya basah dan sebahagian lagi kering. Saya agak bergelut pada awal perlumbaan untuk mara ke hadapan dan kurang keyakinan, sehingga kehilangan beberapa kedudukan,” katanya.
Perlumbaan Moto3 diisytiharkan sebagai perlumbaan basah dan dipendekkan daripada 19 kepada 12 pusingan, sekali gus menjadikan pemilihan tayar serta strategi tunggangan antara faktor penting dalam menentukan keputusan.
Kegagalan meraih mata selepas menamatkan perlumbaan di luar kelompok 15 terbaik menyaksikan Hakim Danish kekal di tangga kesembilan keseluruhan kejuaraan Moto3 dengan 125 mata menjelang pusingan terakhir musim ini di Valencia.
Biarpun kecewa dengan keputusan di Portugal, pelumba berusia 19 tahun itu memilih untuk kekal positif dan menjadikan pengalaman berdepan keadaan litar mencabar sebagai bekalan menghadapi pusingan penutup musim.
“Apa pun, saya jadikan cabaran hari ini sebagai pengajaran untuk terus memperbaiki tunggangan dan kemahiran dalam situasi mencabar seperti ini, terutama ketika berdepan keadaan litar dengan tahap cengkaman rendah.
“Saya akan mengambil pengalaman ini sebagai pembelajaran dan kini menantikan pusingan terakhir di Valencia,” katanya.














