MADRID – Real Madrid semakin sukar digugat apabila melakar kemenangan kelapan berturut-turut selepas menewaskan Valencia 3-0 dalam aksi La Liga di Stadium Mestalla, awal pagi semalam.
Pengendali The Galacticos, Jose Mourinho percaya kemenangan itu bukan sekadar hasil ketajaman jentera serangan, sebaliknya turut membuktikan peningkatan ketara dari segi disiplin terutama pertahanan pasukan.
Menurut Mourinho, prestasi semasa bukan disebabkan taktikal yang dilakukan jurulatih semata-mata sebaliknya menyifatkan pemain sebagai watak utama selepas menterjemahkan segala perancangan di atas padang.
“Pujian harus diberikan kepada mereka, pujian kepada pemain. Saya tidak dapat mengenal pasti taktikal istimewa dalam perancangan saya yang menjadi kunci kepada prestasi mereka.
“Saya hanya menjalankan tugas seperti biasa dan mereka memberikan komitmen penuh secara individu serta sebagai sebuah pasukan. Peningkatan mereka sangat luar biasa,” katanya.
Bagaimanapun, Mourinho mengakui cabaran lebih besar menanti apabila pemain perlu menyertai tugasan bersama pasukan kebangsaan masing-masing, sekali gus boleh menjejaskan momentum pasukan.
“Pemain ketika ini sangat keletihan. Selepas ini, mereka perlu bersama pasukan kebangsaan dan ia memang memenatkan daripada segi mental dan fizikal,” katanya. – AGENSI
















