MINGGU lalu, Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, Ahmad Sobri Ishak, 32, dan Nurul Natasya Ahmad Jaafar, 36, antara nama-nama yang menyentuh perasaan ramai termasuk penulis. Sebelum ini kita mungkin tidak mengenali mereka.
Namun, pemergian tiga individu ini membawa kisah yang jauh lebih besar daripada kehilangan insan tersayang. Di sebalik kesedihan keluarga, sahabat dan mereka yang mengenali ketiga-tiga individu ini, terselit satu nilai kemanusiaan yang cukup tinggi, iaitu kesanggupan memberikan peluang kehidupan kepada orang lain melalui pendermaan organ.
Kisah mereka mengingatkan masyarakat bahawa kehidupan seseorang tidak semestinya berakhir selepas ajal, sebaliknya kebaikan yang ditinggalkan mampu terus memberi makna kepada insan lain yang sedang berjuang untuk hidup.
Kisah Muhammad Aidil memperlihatkan bagaimana sifat pemurah seseorang tidak semestinya diukur melalui kekayaan atau kedudukan, tetapi melalui keikhlasan untuk memberi. Allahyarham yang bekerja di sebuah kafe di Kota Bharu, dikenang keluarga sebagai seorang yang tidak lokek, malah sering membelanjakan wang untuk ahli keluarga setiap kali pulang ke kampung.
Selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya dan disahkan mengalami kematian otak, keluarganya mengambil keputusan mengizinkan pendermaan organ sebagai amal jariah. Buah pinggang, hati, kornea dan tulang yang didermakan membuka peluang rawatan serta kehidupan lebih baik kepada pesakit lain.
Pemergian Ahmad Sobri meninggalkan kesan mendalam kepada rakan-rakan yang mengenalinya sebagai seorang sahabat yang baik, penyabar dan sering memberikan nasihat. Allahyarham Sobri terlibat nahas jalan raya di Shah Alam sebelum disahkan mengalami kematian otak. Keluarga Ahmad Sobri turut membenarkan pendermaan organnya.
Seolah-olah seperti berjanji, kisah Nurul Natasya juga seakan-akan sama. Beliau dilaporkan terlibat kemalangan jalan raya di Kluang, Johor pada Khamis lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.
Ahli keluarga bersetuju mendermakan organ dan pagi kelmarin diuruskan perdermaan tersebut sebelum jenazahnya dikebumikan.
Setiap individu yang dikaitkan dengan pendermaan organ membawa cerita, pengorbanan dan nilai kasih sayang tersendiri yang tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan bagaimana mereka meninggal dunia.
Sebaliknya, perhatian perlu diberikan kepada makna tindakan yang mampu membantu orang lain, selain penghargaan terhadap keluarga yang perlu membuat keputusan besar dalam keadaan berduka.
Pendermaan organ menuntut kekuatan, keikhlasan dan pemahaman terhadap nilai kehidupan manusia. Kisah-kisah ini mengajar kita bahawa kematian bukan hanya meninggalkan ruang kosong.
Setiap kali menyalanya lampu hijau akan terbukanya ruang kehidupan buat orang lain. – KOSMO! ONLINE














