Foto kenangan Hawa bersama adiknya, Allahyarham Muhammad Aidil.

‘Adik seorang yang pemurah, itu menguatkan kami untuk dermakan organnya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sikap pemurah Allahyarham Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, yang tidak pernah lokek membelanja ahli keluarganya makan setiap kali pulang ke kampung di Kelantan menjadi antara kenangan paling sukar dilupakan kakaknya.

Meskipun bekerja di sebuah kafe, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu sentiasa mengutamakan kegembiraan ahli keluarga, malah tidak pernah berkira untuk mengeluarkan wang sendiri.

Kakaknya, Siti Hawa Najwa Ahmad Zupardi, 27, berkata, sifat pemurah itu bukan sahaja dirasai keluarga, malah turut diakui rakan-rakan serta pelanggan yang mengenali arwah sepanjang hayatnya.

“Adik memang sangat pemurah. Walaupun dia bekerja di sebuah kafe di Kelantan, setiap kali kami balik kampung, dialah yang akan belanja kami makan. Memang dia yang selalu belanja kami, tidak pernah tinggal.

“Adik sebenarnya tidak pernah membuat ikrar untuk menjadi penderma organ, tetapi kami sekeluarga fikir ini mungkin salah satu cara untuk meneruskan amal jariah dia.

“Kalau semasa hidup dia suka membantu dan memberi kepada orang lain, kami berharap selepas dia tiada pun, organ yang didermakan dapat memberi manfaat kepada insan lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut, Hawa berkata, hubungan mereka bukan sekadar sebagai kakak dan adik, sebaliknya sangat akrab sehingga hampir semua perkara dikongsi bersama.

Katanya, perbezaan usia yang tidak jauh menjadikan mereka mudah berkongsi cerita, selain sentiasa mengikuti perkembangan masing-masing menerusi kumpulan WhatsApp keluarga.

“Kami memang sangat rapat sebenarnya. Hampir semua benda kami kongsi bersama sebab jarak umur pun tidak jauh.

“Kalau ada apa-apa, memang kami selalu berkongsi dalam kumpulan keluarga. Jadi memang terasa sangat kehilangan dia,” katanya.

Menurut Hawa, kali terakhir dia bertemu Muhammad Aidil adalah kira-kira tiga minggu lalu ketika keluarganya datang dari Kelantan ke Senawang, Negeri Sembilan susulan kematian nenek mereka.

Katanya, pertemuan itu kini menjadi kenangan terakhir bersama adik kesayangan yang tidak disangka akan pergi buat selama-lamanya dalam tempoh begitu singkat.

Dalam pada itu, Hawa berkata, Allahyarham juga dikenali sebagai seorang yang penyayang, menghormati orang tua dan wanita, selain disenangi rakan-rakan serta pelanggan di tempat kerjanya.

Menurutnya, keperibadian baik arwah turut terserlah apabila begitu ramai rakan dan kenalannya hadir memberikan penghormatan terakhir, termasuk ketika upacara Walk of Honour di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

“Memang ramai sangat kawan-kawan adik yang datang. Dia mempunyai ramai kenalan, termasuk dalam kalangan kawan kepada kawan-kawannya.

“Semasa urusan di hospital pun, apabila kami sebut sahaja nama Aidil, orang sudah kenal. Jadi banyak urusan keluar masuk kami dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Aidil terbabit dalam kemalangan motosikal kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya di Kelantan pada Isnin lalu sebelum dikejarkan ke hospital akibat kecederaan serius pada bahagian kepala.

Pemeriksaan lanjut mendapati arwah mengalami kematian otak dan tidak mampu bernafas sendiri tanpa bantuan mesin pernafasan.

Susulan itu, keluarga bersetuju mendermakan organ dan tisu arwah termasuk buah pinggang, paru-paru, kornea mata serta tulang, kecuali kulit.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Teluk Puteri, Panchor, Kelantan selepas solat zuhur hari ini.– KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN